
KUCHING – Kemajuan pesat yang dikecapi Sarawak ketika ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa peranan wanita yang bergerak seiring sebagai rakan kongsi pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, wanita bukan sahaja tulang belakang kepada institusi keluarga, malah menjadi nadi utama kepada pembangunan ekonomi khususnya di Bumi Kenyalang.
Menurutnya, sekiranya golongan wanita kuat, maka institusi keluarga dan negeri Sarawak turut akan menjadi kuat, maju serta makmur.
“Hakikatnya kemajuan Sarawak tidak dapat tercapai tanpa wanita berjalan seiring sebagai rakan kongsi pembangunan.
“Kita memerlukan jurutera wanita, saintis, pakar data analitik serta usahawan teknologi dalam sektor ekonomi baharu berteraskan tenaga hijau dan hidrogen yang sedang diterokai Sarawak kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak komited memastikan wanita terlibat secara langsung dalam membuat keputusan di peringkat tertinggi.
Jelas beliau, ini terbukti apabila Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) buat julung kalinya diterajui oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita, selain pelantikan wanita sebagai CEO di sebuah agensi pelabuhan negeri.
“Berdasarkan statistik Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga Disember 2025, pemegang jawatan pengurusan tertinggi dalam agensi awam melibatkan 39.3 peratus wanita,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mengenai kerangka Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2026 hingga 2030 yang akan menjadi dasar penting dalam memperkasakan wanita secara holistik merangkumi ekonomi, kepimpinan dan keselamatan sosial.
Menariknya, Abang Johari turut berkongsi data Indeks Kebahagiaan Rakyat 2024 yang menunjukkan wanita di Sarawak merekodkan skor lebih bahagia iaitu 7.54 berbanding lelaki.

“Pendidikan adalah kunci mobiliti sosial. Apabila seorang wanita berpendidikan, seluruh keluarganya akan terangkat dan generasi seterusnya akan lebih berdaya saing,” tambahnya lagi yang turut menekankan inisiatif pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan Sarawak.




