
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melancarkan Dashboard Status Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai platform pemantauan awam bagi memaparkan perkembangan pelaksanaan perkara-perkara di bawah MA63 secara bersepadu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, dashboard berkenaan diwujudkan bagi menangani isu maklumat pelaksanaan MA63 yang sebelum ini berselerak di pelbagai platform termasuk media massa dan hansard Parlimen.
“Platform itu membolehkan pemegang taruh serta orang awam memperoleh maklumat yang tepat dan terkini mengenai status pelaksanaan MA63.
“Setakat ini, sebanyak 29 perkara dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi MA63, dengan 13 daripadanya telah dilaksanakan, termasuk sembilan perkara diselesaikan oleh Kerajaan MADANI dan empat oleh pentadbiran terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Tambahnya, sebanyak 16 perkara lagi masih dalam pemantauan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) selaku sekretariat kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) serta jawatankuasa teknikal di bawah majlis berkenaan.
“Walaupun sebahagian perkara telah dikategorikan sebagai selesai, pemantauan berterusan masih diperlukan bagi memastikan tindakan pelaksanaan berjalan lancar dan berkesan.
“Pembangunan Dashboard MA63 dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama yang dilancarkan hari ini boleh diakses melalui portal rasmi BHESS.
“Manakala fasa kedua melibatkan penambahbaikan secara berterusan ke atas beberapa ciri dashboard tersebut termasuk pengemaskinian maklumat-maklumat status perkara di bawah MA63 oleh kementerian serta agensi yang terlibat secara langsung,”katanya.
Orang ramai boleh melayari dipautan berikut https://bhess.jpm.gov.my/index.php/dashboard-ma63/





