
SARATOK – Sebanyak 38 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Pematuhan Lalu Lintas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang bermula jam 9 pagi hingga 11.30 pagi itu menumpukan beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Roban Lama, Jalan Roban–Kabong serta Lebuhraya Pan Borneo.
Menurutnya, sebanyak 58 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan seperti motokar, kenderaan pelbagai guna (MPV), motosikal, pacuan empat roda, lori dan van.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 38 saman telah dikeluarkan dengan kesalahan paling tinggi direkodkan melibatkan tiada lesen memandu, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
“Antara kesalahan lain yang turut dikesan termasuk penggunaan nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi, ekzos diubah suai serta lampu brek tidak berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mathew berkata, operasi itu dilaksanakan bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya membabitkan penunggang motosikal, selain meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna.
Tambahnya, operasi yang melibatkan lima pegawai dan anggota itu berjalan lancar dengan bantuan keadaan cuaca yang baik.
“Pihak polis akan terus menjalankan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin,” ujarnya.



