
JOHOR BAHRU – Seramai 14 daripada 26 Ketua Bahagian Bersatu Johor mendesak Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Dr Sahruddin Jamal berundur demi masa depan parti.
Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid – yang bertindak sebagai jurucakap kepada bahagian terlibat – mendakwa hilang sokongan dan kepercayaan terhadap Dr Sahruddin.
Tambah Isa, perkara itu telah disuarakan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga memaksa mereka membuat sidang media secara terbuka.
“Sidang akhbar ini bukan untuk mencari salah atau bercerita keburukan mana-mana pihak, cuma ini gesaan daripada kami ketua-ketua bahagian Bersatu Johor agar kepimpinan negeri ditukarkan.
“Kami sekali lagi menggesa Muhyiddin menyemak semula pelantikan Pengerusi Bersatu Johor yang didakwa telah kehilangan sokongan dan kepercayaan ketua-ketua Bahagian.
“Selain gagal menyatupadukan kepimpinan dan menangani isu akar umbi, kemelut ini telah banyak menjejaskan imej Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di mata pimpinan bahagian, ahli dan penyokong,” katanya, lapor Sinar Harian.
Antara yang hadir Ketua Bahagian Bersatu dari Johor Bahru, Pontian, Tanjung Piai, Pulai, Pengerang, Parit Sulong, Ledang dan Labis.
Sebagai rekod, pada 30 Disember lalu, Sahruddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong itu berkata, tindakan melepaskan jawatan berkenaan dibuat selepas peletakan jawatan Muhyiddin di peringkat Pusat.
Sementara itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengingatkan kepimpinan tertinggi Bersatu agar tidak mengabaikan suara ketua-ketua bahagian.
“Kepimpinan parti jangan abaikan pandangan dan suara akar umbi, sebaliknya kita perlu berjiwa besar kerana sayangkan parti ini.
“Demi masa depan parti lebih-lebih lagi dalam tempoh kita akan berdepan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum,” katanya.


