
KOTA KINABALU- Daerah Papar dipilih selaku tuan rumah Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei 2026.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata, perayaan Kaamatan bukan sahaja menekankan semangat perpaduan, malah menjadi medium utama untuk memelihara budaya dan adat resam warisan turun-temurun masyarakat Sabah.
“Pesta Kaamatan merupakan platform penting dalam memelihara warisan budaya Sabah serta mengukuhkan perpaduan dan semangat komuniti dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
“Ia juga berfungsi sebagai simbol keharmonian dan kekayaan budaya, selain menjadi wadah untuk meraikan hasil tuaian dan memperkukuh identiti budaya yang terus dipertahankan dari generasi ke generasi,” ujarnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Pertama Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada Selasa.
Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan perancangan strategik dan persediaan menyeluruh bagi memastikan penganjuran Pesta Kaamatan 2026 berlangsung dengan lancar, meriah dan memberi impak bermakna kepada rakyat Sabah.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Pembantu Menteri I, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun; Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip; pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan serta ahli jawatankuasa penganjur yang lain.





