
KUANTAN – Ahli politik bukan Islam diseru untuk menyerahkan hal berkaitan hukum agama Islam kepada ulama, mufti dan pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, saranan itu dibuat bertujuan menjaga keharmonian dan sebagai tanda hormat.
“Sebagai negara berbilang kaum dan agama, kita harus berhati-hati dalam membincangkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama. Perkara ini penting untuk memastikan keharmonian dan perpaduan rakyat kekal terpelihara.
“Rasulullah SAW telah bersabda ‘Sesungguhnya halal itu nyata, dan haram itu nyata… ada perkara di antara kedua ini ada perkara syubhah.
“… dan saya ingin nyatakan bahawa perkara (berkaitan) halal dan haram ini sangat penting dalam kehidupan umat Islam kerana ia berkaitan dengan keimanan dan syariat kami,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Irshadi menjelaskan, agama Islam mengajar penganutnya memberi nasihat dengan penuh hikmah, selain menunjukkan teladan yang baik.
“Oleh itu saya mengajak semua pihak agar saling hormat-menghormati dan menghindari daripada campur tangan dalam isu yang tidak berkait dengan agama.
“Sebagai contoh, kenyataan yang tidak selari dengan prinsip halal dalam Islam boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan umat islam.
“Oleh itu lebih baik kita mengambil pandangan pihak berautoriti terlebih dahulu,” jelasnya.



