CASEMIRO akan meninggalkan Manchester United hujung musim ini selepas kontraknya bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tamat, umum kelab itu semalam.
Pemain antarabangsa Brazil itu menyertai United dari Real Madrid pada 2022 dengan yuran £70 juta (RM381 juta) dan setakat ini membuat 146 penampilan bersama kelab, termasuk menjaringkan 21 gol.
“Seorang pemenang sejati, kami mengucapkan terima kasih kepada Case atas sumbangannya bersama United setakat ini dan berharap dapat menamatkan tempohnya di kelab ini dengan penuh bermakna,” menurut kenyataan United di laman X.
Casemiro berkata dalam kenyataan, dia akan ‘membawa Manchester United bersama sepanjang hidupnya’.
“Sejak hari pertama saya melangkah ke stadium indah ini, saya merasai keghairahan Old Trafford dan kasih sayang yang kini saya kongsi bersama penyokong kelab istimewa ini.
“Ini bukan masa untuk mengucapkan selamat tinggal – masih banyak kenangan yang perlu dicipta dalam tempoh empat bulan akan datang,” katanya.
Pemain tengah berusia 33 tahun itu membina reputasi cemerlang bersama Real Madrid apabila meraih lima kejuaraan Liga Juara-Juara.
Casemiro menjaringkan gol pembukaan ketika United menewaskan Newcastle pada final Piala Liga 2023, selain membantu kelab menamatkan saingan liga di tangga ketiga.
Namun dia tidak diturunkan ketika United menewaskan Manchester City pada final Piala FA musim berikutnya.
Casemiro, antara pemain bergaji tertinggi di Old Trafford berkata menerusi Instagram peribadinya dia akan kekal sebagai Red Devil ‘selamanya’.
“Mengetahui bila masa untuk mengucapkan selamat tinggal apabila anda tahu akan dikenang dan dihormati buat selama-lamanya,” tulisnya.
“Empat bulan untuk memberikan segala-galanya demi lencana ini dan sasaran kami. Hormat dan kasih sayang abadi buat Manchester United serta penyokong hebatnya.”
United kini berada di tangga kelima EPL menjelang kunjungan ke gelanggang pendahulu Arsenal, Ahad ini.








