
ALOR SETAR – Prestasi pasukan bola sepak Kedah, Sang Kenari (FC) kini dikatakan semakin tenat apabila pasukan itu tewas beberapa perlawanan sejak akhir ini.
Ini jelas apabila peminat pasukan bola sepak itu semakin kurang pada setiap kali perlawanan.
Seorang peminat bola sepak Kedah FC , Ahmad Yazid dari Jitra berkata, sukan bola sepak Kedah kian suram apabila tewas sejak lima perlawanan di akhir-akhir ini.
Katanya, adalah sangat menyedihkan prestasi pasukan elit di negeri lain semakin meningkat tetapi pasukan hijau kuning semakin tercorot.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pasukan Sang Kenari tidak berjaya mendapat sebarang piala.
“Kami rindukan pasukan Sang Kenari seperti dahulu sebagai pasukan bola sepak disegani oleh lawan,” katanya.
Menurut Ahmad, dahulu pasukan Sang Kenari setiap tahun pasti akan ke Kuala Lumpur bagi pertandingan akhir untuk pelbagai piala.
“Ini secara tidak langsung menjadi tradisi bagi kami konvoi beramai-ramai dengan menaiki pelbagai kenderaan ke Kuala Lumpur.
“Melalui bola sepaklah dapat menyatukan semangat kenegerian kami. Kalah menang kami tak kisah,” katanya.
Bagi Ramlan Sahlan dari Jeniang pula berkata, kemerosotan bola sepak Kedah pada hari ini perlu mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mihammad Sanusi Md Nor.
Katanya, walaupun beliau tiada kuasa untuk masuk campur tangan dalam pentadbiran kelab Kedah Darul Aman FC tetapi sebagai Presiden Bola Sepak Kedah beliau perlu mengintai prestasi ibu segala sukan di negeri ini.
“Sanusi perlu intai dan mengikuti perkembangan bola sepak Kedah kerana sukan itu merupakan maruah rakyat di negeri ini.
“Di sinilah dia kena tunjuk ‘The Greatest’nya itu. Setakat nak melaungkan slogan itu sapa pun boleh tapi kerja tak jalan tak guna juga,” katanya.
Menurut Ramlan, perlawanan persahabatan baru-baru ini cukup mengecewakan.
“Sejarah saya menjadi peminat bola sepak Kedah jika persahabatan pun sekurang-kurangnya peminat yang datang lebih 3,000 orang.
“Tapi pada malam itu peminat yang datang hanya seribu sahaja. Hanya sukan bola sepak sahaja yang dapat menyatukan seluruh rakyat Kedah dari pelbagai pelosok daerah datang ke stadium dalam satu masa,” ujarnya.





