Dari dokumen ke bilik darjah: 7 denyut nadi pelaksanaan

BERIKUT saya kongsikan refleksi ringkas selepas meneliti ucapan peluncuran Rancangan Pendidikan Negara oleh Perdana Menteri (PMX), dan membaca Ringkasan Eksekutif Rancangan Pendidikan Malaysia (2026-2035).

Seperti yang diungkapkan dengan jelas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam peluncuran tersebut, cabaran sebenar kita bukanlah pada merangka dokumen yang indah, melainkan CABARAN PELAKSANAAN.

Dalam konteks Rancangan Pendidikan Malaysia (2026-2035), persoalan besarnya bukan lagi tentang ‘apa dasar itu’ tetapi ‘bagaimana dasar itu hidup dan bernafas di sekolah’. Kejayaan rancangan ini tidak diukur pada ketebalan laporan, tetapi bergantung sepenuhnya kepada kejituan pelaksanaan iaitu peralihan daripada dokumen dasar di peringkat tinggi kepada realiti sebenar pengajaran di bilik darjah. Inilah jurang sejarah yang perlu kita santuni dan rapatkan.

Untuk mengelakkan ‘system fatigue’ atau kelesuan sistem akibat ‘banjir inovasi’ (innovation overload), kita perlu kembali kepada kebijaksanaan ‘less is more’. Kita tidak memerlukan lebih banyak program; kita memerlukan lebih banyak kebermaknaan.

Jika diminta untuk memetakan jalan ke hadapan, berikut adalah 7 PEMACU LONJAKAN yang wajar menjadi denyut nadi perubahan, membugarkan 49 prakarsa Rancangan Pendidikan Malaysia (2026-2035) melalui pendekatan ‘deep implementation’:

  1. Reformasi Kurikulum – Kompas Kemanusiaan:
    Kurikulum adalah jantung sistem pendidikan. Kita perlu menterjemahkan kurikulum baharu yang bukan sekadar senarai topik, tetapi berorientasikan kompetensi abad ke-21 yang memanusiakan murid. Ia mesti mempunyai kerangka jelas untuk literasi, numerasi, dan pemikiran kritis dan kreatif, namun tetap berakar pada pembinaan watak. Tanpa kejelasan kompetensi yang ingin dicapai, segala usaha lain akan hilang arah.
  2. Pembangunan Guru – Memperkasa Jiwa Pendidik:
    Mutu pendidikan tidak akan melampaui mutu gurunya. Fokus kita mestilah kepada Pembangunan Profesional Guru Berasaskan Sekolah (School-Based Coaching). Kita perlu beralih daripada kursus berpusat yang bersifat umum kepada bimbingan kolaboratif di sekolah yang menyantuni keperluan sebenar guru. Guru yang diperkasa kompetensinya akan menjadi nakhoda yang yakin di bilik darjah.
  3. Pentaksiran yang Meraikan Potensi:
    Sistem pentaksiran perlu diubah daripada “kilang gred” kepada ekosistem yang seimbang dan bermakna. Pentaksiran membentuk cara guru mengajar dan cara murid belajar. Selagi kita terperangkap dalam kepompong ‘satu saiz untuk semua’, transformasi pedagogi yang mendalam sukar berlaku. Kita memerlukan pentaksiran yang menilai manusia secara utuh, bukan sekadar menghukum atau melabel.
  4. Merapatkan Jurang Keadilan Pendidikan:
    Ekuiti adalah prasyarat kepada Karamah Insaniah dan keadilan sosial. Kita mesti melaksanakan intervensi bersasar untuk sekolah luar bandar dan pedalaman, dengan matlamat mengurangkan jurang pencapaian. Pengagihan sumber mestilah berasaskan keperluan (needs-based), bukan sekadar sama rata, demi memastikan setiap anak, di mana jua mereka berada, mendapat hak pendidikan yang bermutu.
  5. Kepimpinan Sekolah yang Transformatif:
    Kepimpinan sekolah adalah faktor kedua terpenting selepas kualiti guru. Kita memerlukan pengetua dan guru besar yang bukan sekadar pentadbir, tetapi pemimpin instruksional yang berwawasan dan berorientasikan pembelajaran. Pemimpin yang lemah akan merencatkan segala benih perubahan yang cuba disemai.
  6. Kesejahteraan Murid – Pendidikan yang Menyembuhkan:
    Murid yang resah jiwanya tidak akan dapat belajar dengan berkesan. Di tengah peningkatan isu kesihatan mental remaja, sekolah mesti menjadi tempat yang selamat dan menyembuhkan. Kita perlu mewujudkan ekosistem yang menyokong kesejahteraan holistik—mental, emosi, fizikal, dan sosial. Pendidikan harus membahagiakan, bukan membebankan.
  7. Infrastruktur Digital & Pedagogi Beradab:
    Teknologi hanyalah alat (enabler), namun ia mesti dipandu oleh pedagogi yang betul dan nilai Adab Digital. Sambil memastikan akses sejagat kepada infrastruktur, tumpuan mesti diberikan kepada membina kompetensi digital guru dan murid untuk pembelajaran bermakna. Kita tidak mahu melahirkan robot pintar, tetapi manusia yang bijak memanfaatkan teknologi demi kebaikan.

Wallahu’alam. Semoga bermanfaat.

*Datuk Amin Senin ialah Ahli Felo Kenegaraan, Akademi Kenegaraan Malaysia

Related Posts

MA63 perlu jadi komitmen, dasar nasional – PM

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan komitmen dan dasar nasional, bukan lagi dilihat sebagai isu sektoral membabitkan Sabah dan Sarawak…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pagi tadi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemandu lori didakwa bunuh empat individu dalam kemalangan di LPT

Pemandu lori didakwa bunuh empat individu dalam kemalangan di LPT

Sabah harap isu 40 peratus dapat disegerakan – Hajiji

Sabah harap isu 40 peratus dapat disegerakan – Hajiji

MA63 perlu jadi komitmen, dasar nasional – PM

MA63 perlu jadi komitmen, dasar nasional – PM

MTPMA63: Kerajaan setuju prinsip tambah penyertaan Ahli Parlimen Sabah, Sarawak

MTPMA63: Kerajaan setuju prinsip tambah penyertaan Ahli Parlimen Sabah, Sarawak

Pengibaran Jalur Gemilang manifestasi cinta dan kebanggaan terhadap negara

Pengibaran Jalur Gemilang manifestasi cinta dan kebanggaan terhadap negara

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak