
WARGA maya, khususnya golongan ibu bapa, menyambut baik inisiatif kerajaan memulakan kemasukan kanak-kanak berusia 6 tahun ke Tahun Satu mulai 2027, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan berkaitan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPN) 2026-2035, pada Selasa.
Tinjauan The Malaysia Press di platform Threads mendapati, perubahan itu disifatkan sebagai langkah progresif yang selari dengan keupayaan kognitif dan perkembangan semasa kanak-kanak, selain berpotensi mengurangkan beban kewangan keluarga.
Seorang pengguna media sosial, @kaptenfairuz, berpandangan masyarakat tidak seharusnya meragui kebolehan generasi muda hari ini, memandangkan negara pernah melaksanakan program lompat kelas dan laluan pantas akademik sebelum ini.
“Kadangkala orang kita lucu. Mereka tidak yakin DNA anak sendiri mampu mengikuti Darjah Satu pada umur 6 tahun, tetapi dalam masa sama sembang akademik dan teori seolah-olah sangat kompeten. Kita pernah buat Program Lompat Kelas sekitar 1996 hingga 1998 dan kini masih melaksanakan laluan pantas seperti Permata Pintar,” katanya.

Dia turut menegaskan terdapat pelajar seawal usia 15 tahun yang sudah diterima masuk ke peringkat ijazah sarjana muda, justeru masyarakat digesa untuk memberi kepercayaan dan sokongan kepada generasi muda.
Sementara itu, seorang bapa, @amerftrie, meluahkan keterujaan apabila menyedari kedua-dua anaknya yang berusia 5 dan 6 tahun pada 2026 berkemungkinan akan berada dalam kelas yang sama pada 2027.
“Aku ada anak umur 5 dan 6 tahun pada 2026. Kiranya 2027 nanti kedua-duanya Darjah Satu. Wah, dah boleh sekelas macam kembar,” katanya berseloroh.

Pandangan sama dikongsi oleh @syedayesha yang melihat cadangan itu sebagai kelegaan dari sudut kewangan, khususnya bagi ibu bapa yang menanggung kos tadika yang tinggi.
“’Excited sebab’ dua-dua anak sama ‘batch’. Cuma risau sikit anak kedua belum sepenuhnya mahir latihan ke tandas. Tapi lega sebab tak perlu bayar yuran tahunan tadika yang mahal. Tahun ini yuran bulanan mencecah RM1,200 untuk dua anak,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan dasar itu mampu menjimatkan perbelanjaan keluarga sehingga ribuan ringgit setahun.
Dalam pada itu, pengguna @fxvincy menyarankan ibu bapa memantau tahap kesediaan anak berusia 5 tahun sebelum membuat keputusan menghantar mereka ke Darjah Satu lebih awal.

“Kalau anak sudah bersedia, boleh mohon kedua-duanya masuk Darjah Satu dan hantar sekolah sekali gus. Tak perlu fikir yuran tadika lagi,” katanya.
Reaksi bercampur turut diluahkan oleh @zulaiha_hamid yang mengakui berada dalam dilema apabila perancangan awal menghantar anak bongsu ke prasekolah berubah secara mendadak.
“Memang pening. Tiba-tiba dua-dua anak Darjah Satu. Bila masa ada anak kembar pun tak tahu,” katanya secara berseloroh.

Terdahulu, ketika peluncuran RPN 2026-2035 pada Selasa, Anwar mengumumkan, mulai tahun hadapan, pendidikan prasekolah akan dimulakan pada usia 5 tahun, manakala kemasukan ke Tahun Satu pula pada usia 6 tahun.
Beliau menjelaskan pelaksanaan perubahan tersebut belum diwajibkan kepada ibu bapa. Ini bagi memberi ruang kepada semua pihak membuat persediaan menghadapi landskap pendidikan baharu, khususnya dalam kalangan warga pendidik.







