
KINABATANGAN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengambil langkah proaktif dengan memendekkan tempoh kelulusan pinjaman kepada lima hari bekerja bagi memastikan capaian modal dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada para usahawan.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, insiatif ini dilihat sebagai usaha memperkasa ekosistem keusahawanan yang lebih cekap.
“Kita mahu para usahawan terdedah kepada digital serta penggunaan automasi bagi meningkatkan produktiviti. Pada masa sama, ada isu birokrasi apabila kita menerima banyak aduan berkaitan kelewatan kelulusan pinjaman.
“Justeru, kita bersetuju tempoh kelulusan pinjaman dipendekkan kepada lima hari bekerja dengan syarat semua dokumen lengkap dan perkongsian data diperingkat Kementerian,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) Kinabatangan, di Koperasi Pelancongan Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL), pada Rabu.

Menurut Mohamad, melalui penambahbaikan sistem dan pengurusan data bersepadu, ia bukan sahaja meringankan beban usahawan malah membuka lebih banyak peluang untuk mereka meningkatkan produktiviti.
“Kita tidak mahu para usahawan terus dibebankan dengan pelbagai borang setiap kali membuat permohonan. Data sedia ada akan digunakan semula supaya apabila mereka memohon dana seterusnya, proses dapat diselesaikan tanpa perlu mengemukakan maklumat baharu.
“Yang penting, dana disediakan dalam jumlah mencukupi agar capaian modal benar-benar dapat dinikmati dan sampai kepada peluang yang memberi keuntungan kepada para usahawan dan penggiat francais,” kongsinya.
Beliau turut menyeru agensi-agensi di bawah KUSKOP untuk membantu usahawan mencari peluang memasarkan produk ke peringkat nasional.







