
LAWAS – Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas diingatkan agar sentiasa menitikberatkan aspek disiplin, integriti serta pematuhan arahan bagi memastikan perkhidmatan kepolisan terus diyakini masyarakat.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, selain itu, aspek kebersihan tempat bertugas dan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan terutamanya dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) perlu diberi perhatian berterusan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Program Panggil Nama di Dewan Serbaguna IPD Lawas pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Liong turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lawas atas kejayaan mematahkan cubaan menyeludup dadah minggu lalu.
Katanya, kejayaan merampas syabu seberat 252.33 gram bernilai kira-kira RM50,000 di Pos Kawalan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Merapok itu mencerminkan kecekapan anggota dalam membanteras jenayah di sempadan.
“Kejayaan tangkapan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu membuktikan tahap profesionalisme pasukan.
“Saya mengucapkan syabas dan berharap semua pegawai serta anggota terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, selamat dan berintegriti,” katanya.




