
TITAH Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menekankan keperluan tindakan tegas dan menyeluruh dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa perlu dijadikan panduan utama oleh semua pihak, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurutnya, peringatan baginda itu mencerminkan keperluan memperkukuh tatakelola serta memastikan penguatkuasaan dijalankan secara berkesan tanpa sebarang kompromi.
Fahmi berkata, titah baginda yang disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15, hari ini, turut menegaskan kepentingan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI menyifatkan titah berkenaan sebagai peringatan jelas kepada semua pihak, khususnya Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara, agar memikul amanah dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
“Titah Seri Paduka Baginda seharusnya menjadi pengingat tegas kepada semua, sama ada yang terlibat atau pernah melakukan rasuah. Kita yang dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mesti menjadi contoh dan berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi rasuah.
“Walaupun titah Tuanku hanya sekitar 15 hingga 18 minit, ia sangat padat dan sarat dengan pesanan serta peringatan, termasuk arahan jelas kepada pihak kerajaan dan badan penguatkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri istiadat berkenaan, hari ini.
Mengulas mengenai bidang tanggungjawabnya, Fahmi berkata beliau menjunjung titah Sultan Ibrahim berkaitan usaha menangani kemudaratan dalam talian, termasuk penularan kandungan palsu seperti deepfake serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, kerajaan komited memastikan persekitaran digital negara kekal selamat dan terkawal, sejajar dengan peningkatan capaian Internet yang kini semakin pantas, murah dan meluas.
Dalam pada itu, Fahmi turut berpandangan bahawa aspek perolehan dan tatakelola kerajaan perlu diteliti secara menyeluruh, termasuk mempertimbangkan penggunaan sistem digital yang lebih telus dan terbuka bagi menambah baik proses sedia ada.
“Mungkin penggunaan sistem digital yang lebih telus dan terbuka akan membantu menambah baik proses sedia ada, dan ini memerlukan penelitian lebih mendalam,” katanya.






