
KUCHING – Seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM339,486 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi media sosial di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima satu laporan berhubung kes penipuan pelaburan atas talian yang menggunakan nama “Navis Wealth”.
Menurut beliau, kejadian bermula pada 3 Disember 2025 apabila mangsa yang berada di rumah tertarik dengan satu iklan pelaburan saham yang ditemui di Facebook sebelum menerima satu pautan dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan tersebut.
“Mangsa yang percaya dengan tawaran berkenaan kemudian membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank syarikat berbeza melibatkan sebanyak 22 transaksi pemindahan wang secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.







