KUALA LUMPUR – UMNO akan mengundang pemimpin tertinggi setiap parti politik Melayu dan Islam untuk memulakan usaha pembentukan kolaborasi agung dalam masa terdekat.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang perjanjian atau syarat ditetapkan dalam memulakan usaha ini.
Menurut beliau, saranan ke arah penyatuan itu telah lama dikemukakan, namun tiada cadangan konkrit pernah dibawa ke persidangan atau mesyuarat agung tahunan mana-mana parti politik.
“Ini bukan soal perkauman atau soal mahu mengenepikan kaum lain, agama lain, budaya dan bahasa lain, tetapi kita harus akur bahawa di mana-mana perhimpunan agung parti-parti politik, perkara ini secara langsung atau tidak langsung sudah turut disuarakan.
“Langkah UMNO menyambut perkara ini adalah satu langkah proaktif yang kita sarankan dan saya sendiri bawa ke perhimpunan agung parti sebagai satu usul yang dikemukakan oleh presiden untuk diterima oleh perwakilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, rancangan penubuhan kolaborasi agung ini hadir, hasil pertemuannya dengan pemimpin parti politik Melayu lain termasuk Pas dan Bersatu serta pihak-pihak lain sebelum ini.
Beliau turut mengesahkan telah membangkitkan berkenaan usaha terbabit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memahami berkenaan matlamat gerakan tersebut.
“Saya ingin menegaskan dan menggariskan dengan jelas bahawa kolaborasi ini tidak berhasrat untuk menggugat atau mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan yang wujud pada masa ini.
“Ini hanyalah satu bentuk kolaborasi, bukannya satu gabungan atau coalition. Ini merupakan hasrat murni daripada UMNO sendiri,” katanya.
Menurut beliau, UMNO mengambil langkah strategik dengan menggabungkan tenaga serta pemikiran kepimpinan parti-parti politik Melayu-Islam melalui muzakarah atau perbincangan sebagai asas kepada kolaborasi berkenaan.
“UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu Islam yang terbesar, kita mengambil langkah ke hadapan untuk mengajak mereka bersama-sama mengambil langkah proaktif dan strategik.
“Ini bagi menggabungkan seluruh tenaga dan pemikiran kepimpinan parti politik ini untuk mengadakan muzakarah atau perbincangan. Walaupun ini adalah ‘loose collaboration’ (kolaborasi longgar), namun ini adalah langkah awal,” katanya.
Beliau juga menegaskan, tidak setuju dengan cadangan untuk mengembalikan Muafakat Nasional (MN) memandangkan nama itu kini sudah didaftarkan di bawah badan bukan kerajaan (NGO).
“Jika pun ada cadangan mahu menghidupkan semula Muafakat Nasional dan mahu menjenamakannya kepada Muafakat Nasional 2.0, maka kita menolak penggunaan istilah Muafakat Nasional kerana Muafakat Nasional didaftarkan sebagai sebuah NGO,” katanya.



