
LAWAS – Situasi banjir di kawasan Merapok di sini dilaporkan terkawal dengan trend air menunjukkan penurunan secara perlahan setakat Jumaat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lawas, Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata, hasil pemantauan di beberapa lokasi berisiko mendapati paras air berada pada tahap normal selain cuaca dilaporkan baik tanpa hujan.
Menurutnya, rondaan tertumpu di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Merapok, Kampung Sasa Ulu Merapok, Kampung Languban Merapok dan Kampung Petarikan Merapok.
“Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan memandangkan keadaan masih selamat dan terkawal.
“Logistik dan keselamatan anggota yang bertugas juga berada dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, Maradona menasihatkan penduduk setempat, khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya kekal waspada terhadap sebarang perubahan cuaca.
Jelas beliau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lawas akan terus bersiap siaga bagi memastikan keselamatan komuniti terpelihara.
Sebarang kecemasan boleh disalurkan terus kepada Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lawas di talian 085-262073 atau talian kecemasan 999.




