Audit integriti, tadbir urus bebas projek ladang babi perlu dilaksana secara pragmatik

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk dilaksanakan audit integriti dan tadbir urus bebas terhadap keseluruhan rantaian kelulusan projek ladang babi berskala besar yang dirancang di Kuala Langat.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, laporan penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek itu juga perlu didedahkan secara penuh kepada orang awam, bersama-sama pelan mitigasi dan rekod penguatkuasaan.

Menurut beliau, semua pihak terlibat wajar membuat pengisytiharan konflik kepentingan di samping moratorium sementara perlu dilakukan ke atas projek tersebut sehingga isu pencemaran lama diselesaikan secara tuntas.

“MCW memandang serius apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara terbuka membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan wujud unsur rasuah, konflik kepentingan atau kegagalan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek yang memberi kesan besar kepada alam sekitar dan kesihatan awam.

“Kita menegaskan bahawa Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) ialah instrumen teknikal penting di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Namun, berdasarkan pengalaman tadbir urus, risiko rasuah jarang berlaku secara langsung pada dokumen EIA.

“Sebaliknya wujud dalam keseluruhan proses kelulusan, termasuk pelantikan perunding, penentuan skop kajian, ketelusan data, kelulusan bersyarat tanpa penguatkuasaan berkesan, serta pengaruh politik atau kepentingan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.

Mengulas lanjut, Jais menjelaskan bahawa MCW tidak membuat tuduhan menyeluruh terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Namun, jika masalah pencemaran bau, air dan kesihatan awam dilaporkan sejak 2010 masih gagal diselesaikan, maka sebarang kelulusan baharu, sama ada bersifat sementara atau kekal wajar dipersoalkan dari sudut integriti serta tadbir urus.

“MCW menegaskan bahawa pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Apabila wujud persoalan rasuah, jawapannya bukan sekadar penjelasan, tetapi semakan bebas dan telus,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor pada Ahad menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan operasi penternakan babi di sekitar Kampung Tumbuk,Tanjong Sepat, di sini dijadualkan bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda menegaskan, projek penternakan babi berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di Selangor yang majoritinya dalam kalangan orang Melayu Islam.

Related Posts

Kebakaran di Dudong: Exco Wanita PDP Nasional salur dana RM2,600 buat tiga keluarga

SIBU – Tiga keluarga mangsa kebakaran di Rumah Panjang Tr. Udin Nasat, Dudong menerima bantuan kewangan berjumlah RM2,600 daripada Exco Wanita Parti Demokratik Progresif (PDP) Nasional pada Ahad.  Ketua Wanita…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Gelanggang futsal Taman Seri Inderapura dinaik taraf menerusi IKR

KUANTAN – Gelanggang futsal di Taman Seri Inderapura, dekat sini, diberi nafas baharu menerusi peruntukan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) diperkenalkan Kerajaan MADANI. Buat masa ini, kerja naik taraf dan baik…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Keputusan Pas untungkan PH

PRN Johor: Keputusan Pas untungkan PH

Kebakaran di Dudong: Exco Wanita PDP Nasional salur dana RM2,600 buat tiga keluarga

Kebakaran di Dudong: Exco Wanita PDP Nasional salur dana RM2,600 buat tiga keluarga

PRN Johor jadi kompas politik, pentas ukur kekuatan parti sebelum PRU16

PRN Johor jadi kompas politik, pentas ukur kekuatan parti sebelum PRU16

Gelanggang futsal Taman Seri Inderapura dinaik taraf menerusi IKR

Gelanggang futsal Taman Seri Inderapura dinaik taraf menerusi IKR

Selangor mahu rakyat budayakan gaya hidup sihat 

Selangor mahu rakyat budayakan gaya hidup sihat 

Calon PH bukan wajah asing di DUN Gambir

Calon PH bukan wajah asing di DUN Gambir