
BERTAM Street Market yang dibuka setiap minggu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad kini menjadi tumpuan 13,000 sehingga 20,000 pengunjung setiap minggu.
Terletak di pekarangan Sunshine Bertam, dengan kawasan tapak yang luas dan selesa untuk bergerak, pasar jalanan ini sudah menjadi tempat lepak baharu golongan muda.

Sambil membeli-belah dan menjamu selera, pengunjung dapat mendengar dan menari dari dendangan lagu-lagu ‘buskers’ jemputan.
Pengunjung juga boleh ‘shopping’ dengan pelbagai jualan, seperi bundle, aksesori, pakaian, makanan dan bermacam-macam lagi yang ditawarkan di situ.

Terdapat 90 vendor dan lebih daripada 150 jenis pilihan menu makanan ditawarkan di sini yang berkonsepkan pasar jalanan.
Menurut Ahmad Akmal, pengasas idea Bertam Street Market, jualan di sini dapat membantu golongan muda mencari pendapatan lebih hasil limpahan pengunjung tanpa henti dan harga jualan yang berpatutan.

Bertam Street Market ini juga bukan sahaja menjadi tempat lepak golongan muda, malah mendapat sokongan dari pemimpin tempatan, seperti ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.




