
SUDAH hampir dua minggu Perikatan Nasional (PN) masih bergelut tanpa pengerusi selepas Tan Seri Muhyiddin Yaasin meletak jawatan.
Desakan Pas untuk mengetuai gabungan itu kini tinggal sebagai tanda tanya besar.
Siapa sebenarnya berani mengambil alih tongkat kuasa itu?
Sebelum ini Pas dengan penuh bangga mengumumkan mereka memiliki ’empat lori calon’ yang bijak, setanding Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi entah mengapa, kini keempat-empat lori itu diam seribu bahasa setiap kali wartawan bertanya.
Adakah lori itu sebenar-benar penuh kepakaran atau hanya dipenuhi dengan sampah politik semata-mata?
Kepimpinan Pas sebelum ini mendesak Muhyiddin meletak jawatan, mencadangkan pemimpin mereka yang kononnya lebih layak seperti panglima perangnya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Tetapi kedua-duanya menolak, walaupun Sanusi sudah dilabel ‘panglima’.
Keputusan Muhyiddin menegaskan mana-mana pemimpin Bersatu yang mengambil jawatan Pengerusi PN akan kehilangan keahlian parti, secara halus menutup laluan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Hamzah Zainuddin, yang mendapat sokongan Pas.
Kini, mata semua tertumpu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang. Namun, alasan faktor kesihatan menyebabkan beliau menolak pelantikan itu.
Jika pengerusi PN pun ditolak oleh presiden parti sendiri, jelas bahawa Pas tiada pemimpin yang mampu mengemudi PN apatahl lagi dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Lebih menyedihkan, walaupun mempunyai seorang ‘panglima’ yang digeruni, Pas ternyata hanya jaguh kampung. Jika kepimpinan mereka dilantik sebagai pengerusi PN, mampukah mereka mengumpul dana cukup untuk pilihan raya, atau cukup sekadar sumbangan ‘tin Milo’ untuk membiayai perjuangan?
Apa yang nyata, Pas kini terperangkap dalam dilema mereka sendiri: ingin mengetuai PN tetapi tidak mampu menanggung tanggungjawab.
Empat lori calon bijak yang diumumkan dahulu kini tinggal slogan kosong, simbol kegagalan Pas mengemudi gabungan yang mereka sendiri mahukan kuasai.
Kesimpulannya penulis berpendapat kekosongan kepimpinan PN bukan sekadar soal jawatan. Ia adalah cerminan kelemahan strategik Pas, konflik dalaman dengan Bersatu, dan ketidakmampuan mereka menghadapi pilihan raya dengan berkesan.
Jika ini yang berlaku, pilihan raya akan datang bukan sahaja ujian politik, tetapi juga ujian kredibiliti sebenar Pas sebagai penggerak utama PN.


