
KUALA LUMPUR — Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa supaya satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) segera diadakan bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan itu, selain melantik pengerusi baharu.
Hadi yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengerusi PN berkata, Pas menghormati dan menerima keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan dan jasa beliau sepanjang menerajui gabungan berkenaan.
“Justeru, demi memastikan kelangsungan pentadbiran PN, saya sebagai Timbalan Pengerusi PN berpandangan bahawa satu mesyuarat tergempar MT PN perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN,” katanya.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut bertujuan menerima dan mengesahkan peletakan jawatan pengerusi PN serta melaksanakan pelantikan baharu bagi jawatan berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh semalam yang dikemukakan kepada Timbalan Setiausaha Agung PN untuk tindakan lanjut.
Hadi turut menegaskan bahawa isu berkenaan wajar diberi perhatian segera memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan Muhyiddin telah melepasi tempoh 10 hari.
Pada 1 Januari lalu, Muhyiddin bersama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Muhyiddin menerajui PN sejak 7 Ogos 2020, ketika gabungan itu didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah entiti politik.
Perkembangan terbaharu ini turut dikaitkan dengan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang daripada Pas, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sebelum digantikan oleh ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.





