
VENEZUELA – Pergolakan politik di Venezuela sekali lagi membuka lembaran baharu apabila kuasa besar dunia Amerika Syarikat (AS) menggunakan kekuatan ketenteraan bagi memastikan kepentingan geopolitik serta dominasi mereka terus terpelihara.
Baru-baru ini, AS melancarkan operasi ketenteraan berskala besar ke atas Caracas dengan kehadiran pesawat terbang rendah dan beberapa siri letupan di ruang udara ibu negara tersebut.
Menurut Pensyarah Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop, tindakan ini akhirnya membawa kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro serta isterinya, Cilia Flores dalam tempoh kurang dua jam selepas operasi dimulakan.
“Operasi yang dinamakan ‘Absolute Resolve’ itu melibatkan lebih 150 pesawat tentera serta unit pasukan khas AS dengan sasaran terhadap beberapa kemudahan ketenteraan utama termasuk Fuerte Tiuna dan pangkalan udara La Carlota di Caracas.
“Kedua-dua tokoh itu kemudiannya dilaporkan dibawa keluar dari Venezuela sekitar pukul 3.30 pagi waktu tempatan dan dijangka didakwa di Mahkamah Persekutuan di New York atas pertuduhan berkaitan narkotik dan keganasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu artikel yang berjudul Dibayangi Hegemoni: Venezuela dan Politik Kuasa di Amerika Latin, pada Selasa.
Jelasnya, operasi ini dilihat bukan tindakan spontan, sebaliknya telah dijangka sejak kehadiran ketenteraan AS meningkat di perairan Caribbean bermula September 2025, termasuk pengerahan kapal induk USS Gerald R. Ford.
Justeru, Ezni berkata, tindakan itu menggambarkan strategi geopolitik lebih besar bagi mengekalkan pengaruhnya di Amerika Latin, terutama ketika rantau itu semakin didekati kuasa besar lain seperti China dan Rusia.
“Dalam konteks ini, pentadbiran Trump sebenarnya beroperasi menerusi pendekatan realisme untuk tidak membiarkan negara yang mempunyai rizab minyak terbesar di dunia dikuasai oleh pesaing kuasa besar seperti China dan Rusia lantas menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
“Dalam teori hubungan antarabangsa, persoalan moral bukan lagi satu pertimbangan, tetapi persoalan kelangsungan hegemoni untuk kekal relevan dalam dunia multipolar semasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut melihat langkah itu sebagai manifestasi pengaktifan semula Doktrin Monroe, dasar tradisional AS sejak abad ke-19 yang menolak campur tangan kuasa luar di Hemisfera Barat.
Menurutnya lagi, perkembangan di Venezuela mungkin hanya permulaan kepada pendekatan lebih menyeluruh AS di rantau tersebut, termasuk kemungkinan tekanan terhadap negara lain seperti Panama, susulan kenyataan terbuka Presiden AS, Donald Trump ‘We’re taking back the Panama Canal’ pada Mac 2025.
Maduro kini bakal mengikuti jejak beberapa bekas pemimpin Amerika Latin seperti Manuel Noriega (Panama), Juan Orlando Hernandez (Honduras) dan Hugo Carvajal (Venezuela) yang berdepan proses perundangan panjang dan berprofil tinggi di AS.
Sementara itu, rakyat Venezuela kini menanti hala tuju pasca-Maduro dengan harapan pembentukan kerajaan baharu mampu memulihkan krisis ekonomi dan kemanusiaan yang telah lama membelenggu negara itu.
Namun, menurut Ezni, masa depan Amerika Latin masih penuh tanda tanya sama ada rantau itu akan mencapai keseimbangan baharu atau terus menjadi medan perebutan kuasa besar dunia yang akhirnya membawa luka lebih parah kepada tanah pejuang nasionalis Simon Bolivar.





