
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan struktur di kawasan Sembulan bermula awal Januari 2026, melibatkan struktur yang dibina tanpa kelulusan, struktur usang serta tidak selamat untuk didiami, selain struktur yang telah tamat tempoh pajakan.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, tindakan tegas akan diambil susulan pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh pihak DBKK yang mendapati kewujudan penempatan serta struktur tanpa kelulusan, melanggar undang-undang kecil dan berada dalam keadaan tidak selamat, kotor serta tidak teratur.
“Kawasan terlibat turut dikenal pasti sebagai antara kawasan dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di daerah Kota Kinabalu, sekali gus menimbulkan risiko serius terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan penduduk sekitar.
“Hasil bancian dan pemeriksaan teknikal mendapati terdapat struktur sementara dan kekal yang dibina tanpa mematuhi piawaian keselamatan, perancangan dan kebersihan yang ditetapkan.
“Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan imej bandar raya, malah meningkatkan risiko keselamatan, kebakaran, pencemaran alam sekitar serta menjejaskan perancangan pembangunan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan dalam laman Facebook DBKK, di sini pada Selasa.

Tambahnya, bancian merekodkan seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara yang menyewa di kawasan berkenaan, dengan majoritinya terdiri daripada pemegang dokumen perjalanan tidak sah.
Selain itu, katanya lagi, pihak berkuasa tempatan itu juga menerima pelbagai rungutan daripada penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan di kawasan terlibat.
“Pelaksanaan tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar atau Sembulan Renewal Scheme yang bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran bandar, keselamatan serta kesejahteraan penduduk ke arah pembangunan kawasan Sembulan yang lebih moden, teratur, bersih dan berdaya huni,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai langkah awal, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan bancian penduduk dan struktur di kawasan terlibat dari 8 hingga 12 Disember 2025, diikuti dengan bancian pengesahan status kelulusan bangunan, tahap keselamatan, kebersihan serta risiko persekitaran.
“Notis pengosongan, perobohan dan pengalihan turut dikeluarkan kepada pihak terlibat pada 18 hingga 22 Disember 2025 sebagai pemakluman awal, dengan tempoh munasabah diberikan bagi pengosongan secara sukarela serta perobohan sendiri struktur tanpa kelulusan.
“Pendekatan perbincangan dan nasihat juga telah dilaksanakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Tindakan ini dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Ordinan Kerajaan Tempatan 1961, Undang-Undang Kecil Bangunan DBKK, Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Penjaja DBKK serta Undang-Undang Kecil Kebersihan dan Anti-Sampah Sarap DBKK,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menegaskan kegagalan mematuhi notis yang telah dikeluarkan, termasuk usaha menduduki semula kawasan atau mendirikan struktur baharu tanpa kelulusan, akan menyebabkan tindakan tegas diambil termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta tanpa notis lanjut.
“Operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan berhemah dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, DBKK menyeru semua pihak yang terlibat agar memberikan kerjasama penuh demi kelancaran pelaksanaan tindakan ini serta mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.







