PUTRAJAYA – Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada Khamis mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI menangani ancaman keselamatan dalam ruang siber, khususnya berkaitan perlindungan kanak-kanak.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dalam era digital tanpa sempadan, langkah itu wajar dilihat sebagai sebahagian daripada evolusi konsep keselamatan negara yang semakin kompleks.
Beliau berpandangan, ONSA mampu memperkasa keupayaan negara mengawal risiko jenayah siber seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya.
“Akta itu juga meletakkan tanggungjawab yang lebih jelas ke atas platform digital, termasuk syarikat teknologi antarabangsa, untuk memastikan keselamatan pengguna tempatan.
“Dari perspektif hubungan antarabangsa, ONSA membantu Malaysia menyelaraskan dasar keselamatan sibernya dengan norma global, sekali gus memudahkan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menangani ancaman rentas sempadan.
“Selain itu, undang-undang tersebut boleh meningkatkan keyakinan awam dan pelabur terhadap ekosistem digital Malaysia, kerana keselamatan siber yang kukuh merupakan prasyarat kepada ekonomi digital yang mampan,”katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Bagaimanapun, Nur Ashikin berpendapat, pelaksanaan ONSA berpotensi menimbulkan persepsi bahawa kawalan keselamatan internet boleh membawa kepada sekatan kebebasan bersuara atau privasi digital, jika tidak ditadbir secara telus.

“Undang-undang keselamatan siber sering diperhatikan oleh komuniti global melalui lensa hak asasi manusia selain penguatkuasaan terlalu luas atau tidak jelas boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai negara yang menyokong keterbukaan digital.
“Cabaran sebenar bukan terletak hanya kepada perundangan, tetapi pada keupayaan pelaksanaan di samping penguatkuasaan yang holistik,” katanya.
Tanpa mekanisme pemantauan yang jelas, beliau menegaskan, sumber manusia yang mencukupi, serta pendidikan digital kepada ibu bapa dan kanak-kanak, ONSA berisiko menjadi instrumen reaktif semata-mata.
“ONSA merupakan langkah penting dan perlu dalam landskap keselamatan moden, namun kejayaannya bergantung kepada keseimbangan antara perlindungan keselamatan, akauntabiliti platform, dan pemeliharaan hak digital.
“Pendekatan yang inklusif, telus dan selari dengan piawaian antarabangsa akan memastikan ONSA dilihat bukan sebagai alat kawalan, tetapi sebagai perlindungan strategik untuk masa depan digital negara,” katanya.
ONSA telah diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan diwartakan pada 22 Mei 2025, sebagai pelengkap kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Akta ini diwujudkan bagi mengukuhkan tadbir urus keselamatan digital dengan memindahkan fokus kawal selia daripada pengguna kepada reka bentuk, sistem dan algoritma platform.
Akta ini terpakai kepada Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP) dan Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), termasuk penyedia tempatan dan asing yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia, bagi memastikan konsistensi piawaian keselamatan merentas platform.
ONSA meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai teras utama melalui pendekatan keselamatan-by-design, termasuk pengesahan umur, kawalan ibu bapa, tetapan privasi lalai yang lebih selamat, sistem carian dan cadangan sesuai umur serta had interaksi antara dewasa dan kanak-kanak.








