
TAWAU – Mayat seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan di dalam sebuah kedai kosong berhampiran premis cuci kereta di Batu 15, Jalan Apas, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan mayat berkenaan daripada orang awam kira-kira pukul 11 pagi.
“Pemeriksaan di tempat kejadian serta keterangan saksi mendapati satu mayat lelaki dikenali dengan nama panggilan Nordin, dipercayai seorang gelandangan dijumpai dalam keadaan meniarap dan berbantal, dipercayai sedang tidur di dalam sebuah kedai kosong yang terletak bersebelahan premis cuci kereta.
“Pemeriksaan lanjut terhadap tubuh badan si mati tidak mendapati sebarang kesan kecederaan atau luka fizikal dan tempoh kematian dianggarkan lebih kurang satu minggu,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Menurutnya, kematian telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tawau sebelum dirujuk ke Hospital sama untuk bedah siasat.





