
[ULASAN] Dalam kita menelusuri dan menghayati erti kemerdekaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, Malaysia kini berada di landasan yang tepat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelbagai berita menarik dalam negara yang boleh dikupas sepanjang bulan kemerdekaan ini.
Pengukuhan nilai ringgit dan lonjakan Bursa Saham (FBM, KLCI)
Petunjuk prestasi memberi gambaran jelas asas pertumbuhan ekonomi negara semakin mapan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 4.2 peratus dan ketekunan Perdana Menteri dalam mentadbir urus negara telah mula membuahkan hasil dalam usaha mensejahterakan rakyat di negara ini.
Ini jelas dibuktikan dengan pengukuhan nilai ringgit yang semakin ketara dan berpotensi mencecah RM4.10/RM4.00 berbanding dolar AS hujung tahun ini apabila dijangkakan momentum kenaikan ini berterusan.
Terdahulu, JP Morgan telah menyemak naik penarafan Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ buat pertama kali selepas hampir enam tahun juga menjadi faktor nilai ringgit mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.
Justeru, Malaysia terus menjadi destinasi utama kepada pelabur global, dengan ekosistem yang kukuh serta disokong oleh persekitaran politik yang stabil.
Pembaharuan dasar yang dibawa oleh Anwar menerusi model baru Ekonomi Madani yang juga turut memberi pendekatan mesra pelaburan (pro-investment) dan mesra perniagaan (pro business) telah meningkatkan keyakinan pelabur.
Ini menjadikan pengukuhan nilai ringgit berlaku apabila eksport yang kuat, pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh, harga minyak yang kembali stabil serta sentimen kepada peningkatan ekonomi domestik yang positif.
Bursa Malaysia (FBM KLCI) pada hari ini juga terus mencatatkan pengukuhan seiring dengan kenaikan nilai ringgit. Momentum kenaikan berterusan telah ditutup pada Rabu kepada hampir paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan.
Prestasi ini dipacu oleh prestasi ekonomi domestik serta lonjakan sentimen dalam sektor kewangan dan turut disokong oleh laporan pendapatan sukuan yang kukuh oleh syarikat utama.
Penurunan harga runcit minyak
Langkah berani pentadbiran kerajaan Malaysia berhubung pemotongan subsidi, sering dianggap sebagai kontroversi dan sensitif. Perkara itu membuatkan pihak pembangkang tidak senang dengan keputusan yang dibuat kerajaan.
Namun perkara itu tidak mematahkan semangat kepimpinan Perdana Menteri dalam merangka pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak lima sen iaitu masing-masing kepada RM3.42 dan RM3.18 seliter bermula 30 Ogos hingga 4 September ini. Trend penurunan ini telah dibuat oleh kerajaan sepanjang tempoh 4 minggu berturut-turut.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan kadar itu adalah selaras dengan penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.
Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit minyak dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Bagaimanapun, harga runcit petrol RON95 kekal pada RM2.05 manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada RM2.15 seliter.
Isu 3R, 115 SD untuk bentuk kerajaan
Dalam kesungguhan Perdana Menteri memacu semula pembangunan negara, pihak pembangkang sibuk mendendangkan jumlah 115 akuan bersumpah (SD) yang mencukupi bagi membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum yang lepas.
Walhal, Ahli PArlimen Tambun itu telah pun mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat dua tahun lalu.
Usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.
Sokongan itu secara langsung mengabsahkan kedudukan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mentadbir negara ketika ini, menggambarkan kedudukan sebuah kerajaan kukuh dan stabil.
Mengimbau Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini, sekali lagi ketenteraman dan kestabilan politik yang sedang berlangsung cuba diganggu-gugat.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di Nenggiri dilihat cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam serakah politik pembangkang apabila menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkara ini juga telah menarik perhatian Tengku Mahkota Pahang untuk mengambil tindakan terhadap presiden parti itu selepas memainkan isu 3R dalam kempen pilihan raya DUN Nenggiri.






