
JABATAN Komunikasi Komuniti (JKOM) selaku penyelaras projek dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang Selama (PDTLMS) memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi kerja-kerja pembangunan serta baik pulih di Kampung Sungai Mati, Matang.
Peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF) itu merangkumi pembaikan jalan berturap, pembinaan longkang, pemasangan lampu solar serta pembinaan 12 kiosk perniagaan.
Ketua Kampung Sungai Mati dan Simpang, Nor Azlan Hashim berkata, usaha tersebut memberi impak besar kepada pembangunan kampung serta kesejahteraan penduduk.
“Terima kasih kepada Kerajaan MADANI, JKOM dan semua pihak kerana memilih kampung kami sebagai Kampung Angkat MADANI.
“Kami menerima dengan tangan terbuka kerana ia bukan sahaja meningkatkan pembangunan kampung, malah membantu meningkatkan ekonomi penduduk.
“Dengan pembinaan longkang, masalah banjir dapat diatasi. Jalan juga telah dinaik taraf dan pemasangan 17 lampu solar menjadikan kampung lebih terang pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP) semasa persiapan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI JKOM di pekarangan Surau Aziziah pada Jumaat.
Selain itu, sebahagian peruntukan turut digunakan bagi penambahbaikan Surau Aziziah.
Kampung Sungai Mati sebelum ini dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI oleh JKOM.

Pada Sabtu, satu Kenduri Rakyat akan diadakan dan turut dihadiri Ketua Pengarah JKOM, Datuk Ismail Yusop. Dua ekor lembu turut disumbangkan bagi meraikan penduduk Kampung Sungai Mati serta kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Turut disediakan ialah perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).





