KUALA LUMPUR – Sikap lebih tegas dan keras perlu dikenakan oleh Kementerian Kerja Raya terhadap kontraktor yang dikenal pasti sering sambil lewa dan lambat menyiapkan projek.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain tindakan perlu terus diambil jika kontraktor gagal mematuhi jadual pembinaan, pemantauan berterusan dan menyeluruh perlu dibuat ke atas setiap projek di seluruh negara.
Menurut beliau, tindakan itu perlu bagi memastikan setiap projek yang dirancang untuk dibangunkan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Jangan tunggu hingga (projek) selesai. Kita kena ambil sikap lebih keras terhadap kontraktor kalau asyik sambil lewa dan lambat untuk memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual.
“Di peringkat negeri, sama ada Sabah, Sarawak, Perlis atau Kelantan. Bagi memastikan projek dijalankan mengikut jadual, kadang-kadang saudara lebih mengerti apa yang diperlukan di lapangan daripada perancangan di peringkat atasan.
“Jadi pegawai yang turun ke bawah (lapangan), sebab itu kita ambil kampung angkat (melalui program) Sejati MADANI kerana tidak mahu ‘disconnect’ antara Kuala Lumpur dengan Ceruk Tok Kun, Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena Himpunan Bulanan kementerian berkenaan, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, adalah penting tindakan tegas diambil oleh KKR terhadap kontraktor yang menyebabkan kelewatan susulan kementerian itu bertanggungjawab ke atas pelbagai projek pembangunan membabitkan kepentingan rakyat.
“Kena sentiasa ada usaha untuk mempercepat (projek), kerana misalnya ada orang memerlukan jambatan itu siap pada Januari, tetapi tertangguh hingga Februari, sebulan dia (rakyat) derita, tertangguh lagi enam bulan, dia sengsara, tertangguh 10 bulan jadi dukalara.

“Banyak projek infrastruktur ini tonggaknya KKR, saudara berjaya, berjayalah pembangunan berkenaan. Jadi kementerian perlu senaraikan semua projek, berapa ratus atau mungkin ribu projek di negara kita.
“Pastikan rekod prestasi mereka, jangan tunggu (sahaja) sehingga selesai, kalau asyik sambil lewa dan lambat kita nak ambil sikap lebih keras pada kontraktor,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar meminta Ketua Setiausaha setiap kementerian memberi ruang kepada pegawai termasuk kakitangan sokongan untuk memberi maklum balas mengenai bentuk pembangunan diperlukan di lapangan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, maklum balas itu tidak hanya terhad kepada bentuk projek yang mahu diketengahkan, sebaliknya turut mengambil kira cadangan yang mahu diutarakan kakitangan berkenaan.
“Kadang-kadang kita kata mahu bina sekolah, projeknya lulus tetapi apabila turun ke lapangan dia (kakitangan) tengok jalan teruk. Ini tak masuk dalam projek. Jadi beri ruang kepada pegawai di peringkat rendah beri pandangan.
“Bukan semestinya dalam proses serta prosedur sedia ada dan kita perlu beri pertimbangan dengan cara ini kita bekerja sebagai pasukan,” katanya.




