KERAJAAN Persekutuan menambah peruntukan bayaran balik cukai kepada RM4 bilion bagi memastikan pembayaran tertunggak dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan memanfaatkan pembayar cukai yang layak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, keputusan menambah RM2 bilion daripada peruntukan asal itu dibuat selaras dengan prinsip moral, ihsan dan keadilan dalam kerangka MADANI, selain memastikan kerajaan tidak berhutang dengan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab melunaskan komitmen pembayaran balik, sama seperti rakyat yang perlu memenuhi tanggungjawab cukai mereka.
“Jika belum cukup, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican sedang meneliti bersama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN untuk melihat bagaimana jumlah ini harus ditambah.
“Ini soal ‘conscience’, ini soal MADANI, soal ihsan dan hormat, ini soal moral juga. Kita harus kutip dan yang berhutang dengan negara harus cepat membayar. Jangan jadi amalan dulu, kalau orang itu kaya raya atau bilionaire, rundingan mengurangkan itu mudah.
“Kalau orang itu di peringkat kecil, dituntut bayar tanpa rundingan. Jadi ini sudah harus diubah, tetapi hutang kerajaan kepada syarikat harus dilunaskan dengan seberapa segera yang boleh,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan memulakan proses pembayaran balik cukai secara berperingkat mulai esok.
Semalam, Anwar mengumumkan bahawa peruntukan bayaran balik cukai bagi Disember dinaikkan kepada RM4 bilion bagi mempercepatkan penyelesaian pembayaran tertunggak, khususnya kepada peniaga kecil dan pembayar cukai yang layak menerima pulangan.




