
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak pernah bergerak sendirian dalam menerajui Kerajaan MADANI, sebaliknya disokong rangka kepimpinan dan gabungan politik yang terbentuk melalui proses demokrasi yang mencabar.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, pembentukan kerajaan itu sendiri bukan lahir daripada satu perjalanan politik yang teratur atau sehaluan sejak awal, sebaliknya bermula dalam suasana pasca pilihan raya yang tegang, bersaing dan penuh kekacauan.
Beliau menjelaskan, keputusan untuk meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri dibuat atas kesedaran semua pihak bahawa negara memerlukan kestabilan yang lebih besar bagi memastikan proses kenegaraan tidak terhenti akibat pergolakan politik berpanjangan.
“Bila kita sebut sebuah kerajaan, ia tidak pernah berdiri atas nama Perdana Menteri semata-mata. Kerajaan Perpaduan yang kini lebih mesra disebut sebagai Kerajaan MADANI terbentuk hasil kesepakatan banyak pihak yang akhirnya akur bahawa ada agenda lebih besar untuk negara ini.
“Keadaan yang ‘chaotic’ itu sendiri menjadi ‘learning curve’, satu proses kematangan demokrasi yang akhirnya melahirkan watak Perdana Menteri yang kita lihat hari ini. Maka tidak mungkin beliau bersendirian,” katanya dalam podcast Minda Tok Abah, pada Jumaat.
Ismail berkata, naratif kononnya Anwar mengemudi kerajaan tanpa sokongan atau keseimbangan politik tidak selari dengan realiti bahawa Kerajaan MADANI telah bertahan selama tiga tahun meskipun dibentuk daripada gabungan yang pada awalnya dianggap mustahil disatukan.
“Kalau tanya saya, kerajaan ini ‘survive’ kerana kesepaduan itu wujud. Tiga tahun bukan tempoh yang singkat. Malah, tidak mustahil beliau mampu menamatkan maraton ini dan berpotensi pergi lebih jauh pada penggal akan datang.
“Jadi untuk membina persepsi bahawa Perdana Menteri sedang ‘standing alone’, kita perlu tanya dan lihat dari sudut yang mana? Dari ‘angle’ yang mana? Kerana faktanya, kerajaan ini tidak berdiri atas bahu seorang individu sahaja,” katanya.
Menurutnya, pengalaman dan latar belakang politik Anwar sendiri lahir daripada fasa-fasa getir perjuangan yang menjadikan beliau lebih matang dalam menguruskan kepelbagaian dalam kerajaan.
Ismail berkata, peranan JKOM adalah memastikan kefahaman ini jelas kepada rakyat agar tidak timbul kekeliruan, terutama dalam era penuh manipulasi dan propaganda politik.


