KOMPOSER dan ‘sifu’ dalam industri muzik tanah air, Datuk M Nasir diumumkan sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi di Anugerah MACP 2025 yang berlangsung malam tadi.
M Nasir dalam ucapan kemenangannya meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada keluarga yang menjadi sistem sokongannya.
“Saya bersyukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada keluarga, isteri dan anak-anak,” katanya, lapor Berita Harian.
M Nasir turut membawa pulang anugerah kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu Tiara ciptaannya.
Anugerah MACP 2025 turut menyaksikan kemenangan lapan kategori lain iaitu Lagu Melayu Persembahan Tertinggi (Sayunk I Love You), Lagu Inggeris Persembahan Tertinggi (Old Love), Lagu Cina Persembahan Tertinggi (Zai Jia Na Gong He Guo Li Hun), Lagu Tamil Persembahan Tertinggi (Yennode Macha), Lagu Luar Negara Persembahan Tertinggi (Dawai), Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi (Taja Archive Sdn Bhd), Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi (Universal Music Publishing Sdn Bhd) dan Komposer Muda Berpotensi (Zubir Khan).
Komposer dan penerbit, Eddie Hamid juga menerima Anugerah Nadi Cipta atas baktinya kepada industri muzik tanah air.






