
MIRI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau mencadangkan program kesedaran dadah perlu diteruskan bukan sahaja di bandar tetapi luar bandar Miri.
Menurut Dennis, program seperti itu perlu diteruskan bukan sahaja di sekitar Miri tetapi juga ke kawasan luar bandar kerana masalah penyalahgunaan dadah turut banyak berlaku di kawasan kampung.
“Kawasan luar bandar mempunyai ketiadaan anggota polis atau pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan keseluruhan terutama di kawasan kampung.
“Mereka yang mempunyai masalah ketagihan dadah boleh bertindak ganas dan berbahaya.
“Perkara ini menjadi kebimbangan terutama di kawasan kampung kerana ketiadaan anggota polis atau pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang ramai,” katanya pada program ‘Quit Drugs : A Journey of Transformation’ anjuran Curtin University Malaysia di LT Foyer, Curtin Malaysia, Miri rabu.

Pada program berkenaan, beliau menyumbangkan kipas dan lima buah katil dua tingkat kepada pusat pemulihan KENOSIS Miri sebagai sokongan usaha pemulihan dadah.
Dennis juga turut menyeru kepada masyarakat supaya bersama-sama menangani masalah dadah semakin berterusan.




