Carilamat nelayan hilang di Nunuyan ditamatkan selepas 4 hari

SANDAKAN – Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi mengesan seorang lagi nelayan yang hilang di perairan Pulau Nunuyan sejak 28 November lalu ditamatkan pada pukul 6 petang semalam selepas empat hari pencarian dijalankan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan papan tunda dan pukat kira-kira 8.1 batu nautika utara Pulau Nunuyan sebelum pemilik bot mengesahkan peralatan itu milik bot yang hilang.

“Seorang daripada kru, Akbar, 24, ditemukan oleh Penyelam Pasukan Tindakan Khas (STAR Team) Maritim Malaysia di dalam bot yang karam.

“Manakala seorang lagi kru, Mohd Aswal Arman, 32, warga Indonesia, masih belum dijumpai sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurut beliau, keadaan laut yang bergelora menyukarkan aset keselamatan memasuki beberapa sektor pencarian sepanjang operasi dijalankan.

“Sebanyak 16 aset digerakkan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti maritim.

“Pencarian merangkumi kawasan seluas 492 batu nautika persegi, namun sehingga hari keempat tiada petunjuk baharu ditemukan,” ujarnya.

Terdahulu, kedua-dua mangsa keluar menangkap udang pada 22 November lalu, namun laporan kehilangan hanya dibuat pada 28 November, menjadikan tempoh kehilangan melebihi 12 hari dan mengurangkan potensi penemuan mangsa.

Jelasnya, walaupun operasi ditamatkan, aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin akan terus memantau kawasan berkenaan, manakala operasi Carilamat akan diaktifkan semula sekiranya terdapat perkembangan baharu.

Sementara itu, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu mewakili Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali merakamkan penghargaan kepada semua agensi sahabat atas kerjasama sepanjang operasi dijalankan.

Justeru, Maritim Malaysia turut menasihati komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, termasuk memakai jaket keselamatan, memastikan peralatan komunikasi berfungsi dan memeriksa keadaan bot sebelum ke laut.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-221923 bagi tindakan segera.

Related Posts

Program JIWA@Komuniti di Saeh perhebat semangat patriotisme dan penyaluran maklumat sahih

NIAH – Program JIWA@Komuniti sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 terus menjadi platform strategik bagi memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat, khususnya buat penduduk di sekitar kawasan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Cameron Highlans dilanda banjir kilat, lumpur, pendaki maut
  • AdenAden
  • September 12, 2026

CAMERON HIGHLANDS – Hujan lebat yang melanda Cameron Highlands petang semalam mengakibatkan banjir kilat dan banjir lumpur di beberapa lokasi, selain kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan di sekitar Tanah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Program JIWA@Komuniti di Saeh perhebat semangat patriotisme dan penyaluran maklumat sahih

Program JIWA@Komuniti di Saeh perhebat semangat patriotisme dan penyaluran maklumat sahih

Cameron Highlans dilanda banjir kilat, lumpur, pendaki maut

  • By Aden
  • September 12, 2026
Cameron Highlans dilanda banjir kilat, lumpur, pendaki maut

‘Slayyy, semoga anak didik belajar dari guru’ – Anwar

‘Slayyy, semoga anak didik belajar dari guru’ – Anwar

MA63 bukan isu wilayah, tetapi sejarah Malaysia

MA63 bukan isu wilayah, tetapi sejarah Malaysia

UUM, Kerajaan Sarawak rintis kerjasama strategik bidang komunikasi

UUM, Kerajaan Sarawak rintis kerjasama strategik bidang komunikasi

MCMC siasat laporan operasi manipulasi pilihan raya guna AI Claude

MCMC siasat laporan operasi manipulasi pilihan raya guna AI Claude