
KOTA KINABALU – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bercadang memperkasa konsep kebun dapur sebagai program baharu untuk mengukuhkan jaminan makanan negeri, khususnya bagi penduduk luar bandar.
Jelasnya, inisiatif itu memberi peluang kepada rakyat menghasilkan makanan sendiri melalui tanaman di sekitar rumah, termasuk sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi.
“Saya ingin kemukakan satu idea, iaitu konsep kebun dapur untuk rakyat berkebun di keliling rumah.
“Mereka boleh menanam pelbagai tanaman yang menjadi bekalan harian.
“Pendekatan itu juga berpotensi menjadikan Sabah sebagai pengeluar utama beberapa jenis buah-buahan.
“Kalau ramai orang menanam, saya yakin suatu masa nanti kita boleh jadi pengeluar durian, avocado atau nangka madu C33 yang terbesar di Sabah.
“Saya dapat ilham ini semasa lawatan ke Thailand,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan sesi ‘clock In’ di pejabat Menteri, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Perindustrian Makanan (MAFFI), di sini pada Rabu.

Menurutnya, cadangan itu selaras usaha kementerian mengurangkan kebergantungan kepada pengusaha berskala besar.
“Kita tahu ramai rakyat mengeluh kerana mereka tidak ada modal untuk mengusahakan kebun seperti syarikat besar, terutama di luar bandar.
“Kerjasama antara pusat semaian jabatan pertanian Sabah, pusat semaian LIGS dan pusat-pusat semaian lain boleh memperkukuh bekalan benih berkualiti pada harga lebih rendah.
“Kalau kita perkasakan pusat semaian, kita dapat keluarkan benih berkualiti dengan harga mampu milik supaya konsep kebun dapur dapat dilaksanakan sebaiknya,” jelasnya.
Tambahnya, konsep itu turut merangkumi penternakan kecil seperti ikan tilapia, ayam telur atau kambing.
“Saya sendiri melaksanakannya.
“Modalnya kecil tetapi impaknya besar untuk keluarga, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan kerana ada aktiviti bersama setiap hujung minggu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan, Jamawi berkata, ia bergantung kepada kemampuan belanjawan kementerian.
“Mungkin ada perkara yang kita boleh laksanakan awal.
“Kalau tidak ada, saya akan gunakan peruntukan khas menteri untuk projek rintis di beberapa tempat.
“Yang penting kita mula dulu dan rakyat nampak impaknya,” ujarnya.





