
KOTA MARUDU – Calon PH bagi kerusi DUN Bandau, Zaidi Jatil selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Beliau mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Popok, Kota Marudu setelah tiba di pusat pengundian pada kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.
Zaidi berharap kerajaan yang ditubuhkan selepas PRN ini dapat memberikan fokus terhadap kebajikan rakyat dan pembangunan Sabah.
“Bagi saya selepas ini siapapun menang di kawasan Bandau dan siapapun bakal menubuhkan kerajaan pada mana-mana gabungan parti politik khususnya di peringkat Pakatan Harapan.
“Kita berharap dalam tempoh lima tahun ini keperluan dan kebajikan rakyat terjaga dalam tempoh masa lima tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas membuang undi di SK Popok, di sini pada Sabtu.

Beliau juga berharap agar suara anak muda dan wanita turut diberi perhatian di Dewan Undangan Negeri kelak.
Justeru, beliau mahu melihat berlaku satu perubahan besar untuk sabah dengan peningkatan ekonomi dan peluang pekerjaan yang sekali gus membawa kepada penurunan kadar pengangguran serta penyelesaian masalah kemudahan asas.
Sebagai rekod, Zaidi yang merupakan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Sabah berdepan saingan 13 penjuru di Bandau yang mempunyai 27,390 pemilih berdaftar.






