
KLUANG – Dua anggota Unit Pemusnah Bom Polis Johor yang dilaporkan parah selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh petang semalam, disahkan stabil.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, mengalami patah tulang peha kiri dan satu tulang rusuk sebelah kiri.
“Manakala Koperal Abdul Halim Zainal, 39, patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom kini dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berhubung kejadian itu, beliau berkata kedua-dua mangsa bersama beberapa lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah turun ke lokasi.
“Pada jam lebih kurang 8.50 pagi semalam, pihak polis mendapat makluman awam berhubung penemuan bom lama di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di sini.
“Susulan laporan itu, polis dari Unit Pemusnah Bom, Cawangan Persenjataan, IPK dan IPD telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Namun, pada jam 2.20 petang Pusat Gerakan Daerah (DCC) IPD Kluang telah menerima panggilan MERS 999 dari anggota pondok polis Sri Lambak melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku di lokasi penemuan bom itu,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati, runtuhan berlaku di kawasan dinding lubang tanah ketika semua anggota polis sedang membuat persiapan kerja-kerja memusnahkan bom.
Katanya, kejadian itu menyebabkan dua anggota polis berkenaan tertimbus di bawah runtuhan tanah dan dilaporkan parah, semalam.
Bagaimanapun kata beliau, kedua-dua mangsa kini stabil dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.



