
SIPITANG – Calon PH bagi DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa menyatakan bukan sahaja membawa mandat PH malah turut mewakili kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Katanya, pemilihan PH di kawasan itu merupakan langkah realistik untuk memastikan hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan kekal kukuh bagi memacu pembangunan di kawasan pedalaman.
“Harapan ini tidak berdiri sendiri. Saya tawarkan diri sebagai calon PH, namun saya juga mewakili BN dan GRS.
“Di kawasan lain parti-parti ini bertembung, tetapi di sini kita bersatu,” katanya ketika berucap di markas mini Kampung Lumut, di sini pada Khamis.

Tambahnya, kesepaduan politik itu memberi kelebihan kepada pengundi untuk memilih sebuah gabungan yang stabil serta mampu membawa pembangunan mampan ke kawasan Sindumin.
“Saya pemimpin untuk semua kaum dan semua parti.
“Kita dari GRS, BN dan PBRS perlu yakin bahawa PH mampu bekerjasama dengan rakan-rakan lain dalam kerajaan,” katanya.
Menurutnya, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah faktor penting dalam menyelesaikan isu-isu yang memerlukan campur tangan kementerian di peringkat pusat.
“Manifesto setiap parti hampir sama, termasuk pembangunan Pusat Latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyediaan peluang pekerjaan serta penubuhan institut kemahiran. Namun pelaksanaannya memerlukan kelulusan dan kerjasama kementerian seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Jika ditanya parti mana yang mempunyai peluang paling besar untuk merealisasikan perancangan ini, saya percaya PH adalah antara yang mampu melaksanakannya,” katanya.
Yamani Hafez turut mengakui PH bukan parti tradisi di kawasan pedalaman, namun di Sindumin menunjukkan keyakinan terhadap potensi kawasan tersebut.
“Jika Sindumin dimenangi PH, ia memberi isyarat penting bahawa kawasan pedalaman turut menuntut pembangunan setara.
“Ini juga akan menarik perhatian Perdana Menteri untuk memberi tumpuan kepada Sindumin sebagai kawasan yang perlu dibuktikan keupayaan PH,” ujarnya.




