
SANDAKAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin menyatakan beliau tidak pernah menipu rakyat serta komited menjadi 100 peratus wakil rakyat yang telus dan bertanggungjawab.
Menurutnya, tuduhan di media sosial yang melabel beliau sebagai ‘katak’ atau tidak menjalankan tugas adalah tidak benar dan hanya bersifat persepsi.
“Saya ini tiada diskaun punya wakil rakyat. Saya 100 peratus untuk khidmat rakyat.
“Saya tidak tipu, kalau hitam saya cakap hitam, kalau putih saya cakap putih,” katanya ketika berucap pada satu program Ceramah Kelompok di Kampung Karamunting, di sini pada Isnin.
George berkata, setiap permohonan daripada penduduk akan direkod, disemak dan dibawa ke mesyuarat mingguan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilakukan secara teratur.
“Kamu hantar permohonan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Ketua Kampung kemudian sampai ke pejabat saya.
“Semua aduan akan dikemas kini setiap minggu. Kalau nama sudah masuk, ikut giliran, memang akan dapat,” jelasnya.
Tambah George, bahawa peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah hak rakyat dan perlu dibelanjakan mengikut keperluan setempat, termasuk pemasangan lampu solar bagi keselamatan penduduk pada waktu malam.
“Peruntukan itu bukan untuk saya, itu duit kamu yang pilih saya. Sebab itu saya guna untuk bantu rakyat,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa bantuan diberikan sebagai ‘gula-gula pilihan raya’, George menolak tuduhan tersebut dan menjelaskan bahawa peruntukan tahunan telah digunakan sepenuhnya untuk keperluan masyarakat.
“Saya mohon maaf kalau orang kata ini gula-gula. Saya takut orang salah faham, tapi saya memang bantu rakyat setiap tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merayu pengundi agar memberikan mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah 29 November ini.
“Saya calon nombor dua. Saya mohon sokongan kamu semua untuk terus jaga Karamunting,” katanya.





