
LIMBANG – Isu keselamatan jalan raya di daerah ini kembali menjadi perhatian apabila statistik menunjukkan peningkatan kadar kemalangan, termasuk kematian melibatkan golongan muda.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) B2 peringkat Parlimen P.221 Limbang di Dewan Suarah Limbang, pada Ahad.
Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 165 kes kemalangan direkodkan di Limbang sepanjang tahun 2024, termasuk 8 kes kematian, kebanyakannya membabitkan penunggang motosikal berusia antara 16 hingga 35 tahun.
“Statistik di peringkat negara pula menunjukkan lebih 6,000 kematian setiap tahun, dan hampir 70 peratus daripadanya melibatkan motosikal. Angka ini tidak boleh dianggap biasa, ianya bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, tetapi merugikan negara kerana negara kehilangan modal insan yang mati dengan sia-sia,” tegas beliau.
Datuk Hasbi berkata, inisiatif MyLesen B2 bukan sahaja membantu golongan sasaran mendapatkan lesen secara percuma, tetapi turut menjadi mekanisme penting dalam membentuk penunggang yang berdisiplin dan terlatih.
“Memiliki lesen adalah satu perkara, tetapi mempunyai ilmu, latihan dan disiplin semasa di jalan raya jauh lebih penting.
“Pemandu bertauliah dapat mengurangkan risiko kemalangan yang sering berpunca daripada kecuaian atau ketidakpatuhan undang-undang,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan (MoT) dan JPJ akan terus komited melaksanakan program berteraskan rakyat yang menyokong aspirasi Kerajaan MADANI ke arah pembangunan sosial yang inklusif dan menyeluruh.
Berkenaan program, seramai 1,115 peserta daripada kalangan pelajar sekolah, belia Giat MARA dan golongan B40 di Parlimen Limbang berjaya menamatkan latihan dan ujian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan kini menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) B2 secara percuma.
Bagi fasa pertama tahun 2025, lebih 15,000 peserta Program MyLesen di seluruh negara telah memperoleh lesen motosikal B2 dengan pembiayaan penuh kerajaan berjumlah RM5.2 juta.
Melihat sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan kemudiannya menambah 10,000 kuota baharu bermula Ogos 2025 untuk memenuhi permintaan rakyat.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh matlamat Kerajaan MADANI dalam memperluas mobiliti rakyat dan mengurangkan beban kewangan isi rumah B40, tetapi turut meningkatkan tahap keselamatan jalan raya melalui pemandu yang terlatih dan berlesen.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli; Timbalan Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Jasmanie Shafawi dan Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Parum Niot.



