
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, berada di luar negara ketika dicari bagi membantu siasatan projek Lebuhraya MEX 2.
SPRM kini bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mengesan keberadaan beliau dan menggesa ahli politik itu segera kembali ke tanah air bagi membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama dengan Imigresen akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjejak lokasi Adam Radlan yang berusia 44 tahun.
“Kita syak beliau berada di luar negara. Kerjasama dengan Imigresen akan dibuat dalam masa terdekat. Paling penting keberadaan beliau. SPRM menyeru beliau segera balik bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Pada Sabtu, media melaporkan bahawa SPRM sedang mengesan Adam Radlan, yang beralamat terakhir di A16-2 Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan berkaitan projek Lebuhraya MEX 2.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penguasa Sharan Raj Govindasamy, di talian 014-3560771 atau melalui e-mel sharanraj@sprm.gov.my.
Difahamkan, Adam Radlan dicari bagi membantu siasatan berkaitan projek Pembinaan Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX 2) yang bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.
Sebelum ini, beliau turut disiasat berkaitan projek Jana Wibawa, namun Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskannya daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram selepas beliau membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, memaklumkan bahawa SPRM bersetuju menawarkan kompaun kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan oleh tertuduh.
Mengikut pertuduhan berkaitan kes tersebut, Adam Radlan didakwa meminta suapan wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. ketika itu, Mat Jusoh Mamat.
Beliau juga didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan surat setuju terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis, menerusi rundingan terus yang bernilai keseluruhan RM47.8 juta.
Selain itu, Adam Radlan berdepan tiga pertuduhan menerima suapan RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa. Beliau turut dituduh secara rasuah meminta RM2 juta daripada Tian Chuan sebagai upah untuk membantu Nepturis memperoleh projek sama.
Semua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Selain pertuduhan rasuah, Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.





