PETAGAS – “Jangan marah anak yang jaga ya, cakap baik-baik.”
Itu pesanan ringkas namun menyentuh hati yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menziarahi seorang pesakit strok, Tandu @ Tarsilla Soliat, 68, dalam Program Ziarah Kasih di Kampung Duvanson, pada Sabtu.
Suasana di rumah kecil itu seketika menjadi hening apabila Tandu, yang masih lemah dan hanya mampu mengangguk, mendengar nasihat Perdana Menteri yang duduk di sisi katilnya.
Anak pesakit, Theresia Alexander, 38, berkata, keluarganya sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri akan hadir ke rumah mereka untuk bertanya khabar ibunya yang terlantar sejak tiga bulan lalu.
“Kami terkejut, tidak sangka pemimpin negara sendiri masuk ke rumah kami. Ibu baru pulih sedikit selepas koma hampir dua bulan. Hanya boleh bergerak perlahan dan bercakap tetapi masih tidak boleh makan, hanya minum susu melalui tiub.
“Ibu mengalami sawan pada Jun lepas dan apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan menghidap neurosifilis,” katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya, pada Sabtu.
Justeru, katanya, mereka sangat terharu apabila pemimpin negara itu benar-benar berada di hadapan mata, serta turut menyampaikan sumbangan.
“Seluruh keluarga kami memang minat beliau (Perdana Menteri) kerana sikap yang mesra rakyat.
“Tadi pun, beliau (Anwar) sempat berpesan pada ibu, ‘jangan marah anak menjaga, cakap baik-baik,” katanya yang merupakan anak kelima daripada enam beradik,” katanya.

Kehadiran Anwar bukan sekadar menziarah, malah turut menyampaikan sumbangan tunai RM1,000 dan bakul makanan kepada keluarga itu, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan anak-anak Tandu.
Kunjungan Perdana Menteri ke kampung itu merupakan sebahagian daripada Program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, dengan Perdana Menteri menziarahi tiga rumah penduduk uzur dan menyampaikan sumbangan bakul makanan serta bantuan tunai dengan jumlah yang sama kepada setiap keluarga.
Program itu turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Petagas, Datuk Awang Husaini Sahari.
Anwar berada di Sabah selama dua hari hingga esok untuk menghadiri beberapa program antaranya Program Dialog Anak Muda di ITCC, Penampang, Ceramah Perdana dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina Kota Kinabalu dan Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah Bersama Pimpinan Masyarakat DUN Tulid, Keningau.




