SUNGAI PETANI – Seorang wanita yang masih menyusukan bayi berusia empat bulan dicekup ketika melepaskan gian bersama tiga lagi individu di sebuah rumah di sini kelmarin.
Suspek berusia 27 tahun yang menyara hidup dengan mengutip bahan terbuang merupakan antara 35 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda dalam operasi penguatkuasaan di daerah itu.
Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Asnida Ishak berkata, hasil semakan mendapati ibu muda terbabit pernah ditahan pada Jun lalu ketika hamil lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan diletakkan dalam proses jamin.
Katanya, dia bagaimanapun melanggar syarat serta gagal hadir proses jamin yang dihadapinya sebelum ditahan pada kelmarin.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini supaya menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, Kelantan.
Kata Asnida, semasa di mahkamah, ibu kepada wanita berkenaan berusia 55 tahun memaklumkan akan menjaga cucunya itu sepanjang wanita itu menjalani pemulihan.
“Nenek bayi itu bagaimanapun didapati baru sahaja dibebaskan dari penjara serta mempunyai 14 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Kita kemudian menahan nenek bayi itu bersama teman lelakinya berusia 40 tahun dan hasil saringan air kencing kedua-duanya didapati positif dadah jenis methamphetamine, sekali gus menyebabkan permohonan untuk menjaga cucunya itu ditolak,” ujarnya.
Ujarnya, selain bayi berkenaan, wanita itu mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia empat tahun yang diragui tarafnya dan kini dijaga oleh seorang pengasuh.
“Kita juga terpaksa menolak permohonan pengasuh kepada anak wanita berkenaan apabila semakan lanjut mendapati suami pengasuh itu juga pernah ditahan AADK kerana penyalahgunaan dadah.
“Pada masa ini, kita sedang berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung penjagaan anak suspek,” tambahnya.




