
SELANGAU – Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas disyaki memiliki dadah dalam operasi Op Tapis Khas yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada 12 November lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 39 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan di laluan utama Selangau.
“Pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek menemui satu tiub keratan straw lutsinar berisi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis methamphetamine.
Ujian saringan awal urin turut mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Operasi yang dijalankan bermula 12 tengah hari hingga 4 petang itu turut membawa kepada rampasan dadah seberat 1.19 gram dengan anggaran nilai RM300.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai buruh telah direman selama empat hari sehingga 17 November 2025 bagi melengkapkan siasatan.
DSP Muhamad Rizal menegaskan bahawa IPD Mukah komited membanteras penyalahgunaan dadah di Mukah dan Selangau, serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.







