Malaysia bukan punca Thailand gantung perjanjian damai bersama Kemboja

KUALA LUMPUR – Punca penggantungan perjanjian damai Thailand-Kemboja bukanlah disebabkan peranan Malaysia membantu memuktamadkan pemeteraian persetujuan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan Bangkok itu dibuat selepas mengambil kira gesaan supaya Kemboja mematuhi sepenuhnya perincian perjanjian yang bakal membawa kepada pembebasan 18 tahanan di bawah Thailand.

Katanya, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, tidak pernah mempertikai tanggungjawab dan peranan Malaysia sebagai pengantara bagi perjanjian itu, seperti dinyatakan dalam mesej kepada beliau, baru-baru ini.

“Cuma dia (Anutin) kata, kena gesa Kemboja juga mematuhi sepenuhnya (perjanjian damai). Kalau tanya saya, saya doakan bagi selesailah… yang kita hendak seronok kalau bergaduh sebab mahu tunjuk Perdana Menteri Malaysia tak berjaya, ini sikap sangat merugikan.

“Doa untuk menggagalkan perjanjian ini semata-mata mahu tunjuk Perdana Menteri Malaysia gagal. Saya mahu doakan aman kerana kalau mereka bergaduh, kesannya adalah kepada kita.

“Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar semalam, sudah diarahkan segera mendapatkan laporan terkini perkembangan krisis Thailand-Kemboja bagi membolehkan bantuan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai punca Bangkok menolak cadangan Malaysia menghantar lebih ramai tentera pengaman ke Thailand, pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar turut menafikan dakwaan penggantungan itu dibuat susulan dakwaan bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap yang menyifatkan Malaysia dan Anwar sebagai ‘tangan ghaib’ menentukan hala tuju serta pelaksanaan rundingan damai.

Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia hanya berperanan menyelaraskan perjanjian damai itu, sebaliknya setiap parameter ditentukan dan dipersetujui Anutin bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

“Soal Rangsi setuju atau tidak bukan masalah kepada saya. Sama ada dia berwibawa atau tak, tidak masalah. Jika mahu kutip alasan dia tak setuju, apa kepentingannya? Adakah kerana ia diusulkan oleh Malaysia?

“Ramai di Kemboja menganggap Thailand agresif, selain ada di pihak Bangkok beranggapan Phnom Penh melanggar prinsip (perjanjian damai). Sebab ini kita tolong rundingkan.

“Ketika Perdana Menteri Thailand dan Kemboja dipanggil, saya minta mereka tentukan parameter, selain Malaysia hanya bantu menyelaraskan,” katanya.

Sementara itu, mengulas pandangan Susilo Bambang Yudhoyono, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenyataan bekas Presiden Indonesia itu dibuat susulan kebimbangannya mengenai persetujuan Malaysia, seolah-olah ia dipaksa ke atas Jakarta.

“Ini tidak benar, kita bersetuju dengan pengecualian seperti (perkara) 5.2 dan 7.3 (perjanjian) yang memberi pengiktirafan kepada dasar, keselamatan, undang-undang dan peraturan negara, termasuk Dasar Bumiputera dan memelihara kepentingan tempatan.

“Ini yang dikemukakan, tiada masalah dengan pihak tidak bersetuju. Dalam negara pun ada pihak tidak bersetuju waima dalam Jemaah Menteri pun ada perbincangan panjang dan hangat, sebelum keputusan akhir dimeteraikan,” katanya.

Related Posts

Cukup berkompromi, kini masa pacu reformasi – AMK

AYER KEROH – Hentikan pendekatan berkompromi dengan bekas musuh politik atas alasan kestabilan, sebaliknya tumpukan pelaksanaan agenda reformasi yang masih dituntut rakyat, ujar Angkatan Muda Keadilan (AMK). Naib Ketua AMK,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

PUTRAJAYA – Prestasi luar jangka keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua tahun 2026 (S2 2026) mempamerkan reformasi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI telah membantu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Cukup berkompromi, kini masa pacu reformasi – AMK

Cukup berkompromi, kini masa pacu reformasi – AMK

Pemandu, penumpang rentung kemalangan kereta, lori tangki

Pemandu, penumpang rentung kemalangan kereta, lori tangki

Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

Teliti bantuan khas, skim sokongan guru luar bandar dan pulau

  • By Fatin
  • August 14, 2026
Teliti bantuan khas, skim sokongan guru luar bandar dan pulau

300 pelajar Pahang ke luar negara terima RM1,000

300 pelajar Pahang ke luar negara terima RM1,000

RCI Tabung Haji: Segerakan pendakwaan jika bukti cukup – Haniff

RCI Tabung Haji: Segerakan pendakwaan jika bukti cukup – Haniff