Muhyiddin akan dibicara bermula 9 Mac tahun depan selama 29 hari

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap tujuh pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram (AMLA), didengar selama 29 hari bermula 9 Mac tahun 2026

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan perbicaraan pada 9, 10 dan 11 Mac serta 13, 16, 28, 29 April, 25 dan 26 Mei, 6 hingga 10 Julai dan 13 hingga 17 Julai.

Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 27, 28 dan 29 Julai dan 17, 18, 19, 20, 21, 26 dan 27 Ogos. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 27 November ini.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya akan memanggil tidak lebih 30 saksi untuk memberi keterangan.

Beliau turut menetapkan 18 November ini bagi mendengar permohonan bekas Perdana Menteri bagi mendapatkan pasportnya secara sementara untuk perjalanan ke luar negara selain mengarahkan beliau hadir pada pendengaran permohonan itu kerana pengecualian hanya diberikan untuk pengurusan kes.

Muhyiddin, 78, yang merupakan Presiden Bersatu itu yang tidak hadir pada Isnin telah diwakili oleh peguam, Chetan Jethwani.

Pada prosiding 7 Oktober lalu, mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Muhyiddin untuk mengugurkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan dan memohon kesemua tujuh pertuduhan didengar secara bersama.

Hakim K. Muniandy (kini hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan hari ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Mengikut empat pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Related Posts

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

BEAUFORT – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) tampil dengan pendekatan baharu menerusi aktiviti berjalan kaki pada program Langkah Jiwa Merdeka bagi mendekati masyarakat dan menyemarakkan semangat patriotisme sempena Bulan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

PUTRAJAYA – Kelemahan pengurusan Tabung Haji (TH) antara 2014 hingga 2017 menerusi pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencetuskan persoalan besar mengenai sejauh mana amanah terhadap kepentingan masyarakat Melayu-Islam benar-benar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lebih 115,000 pengunjung, Sarikei cipta rekod baharu Program Sarawakku Sayang

Lebih 115,000 pengunjung, Sarikei cipta rekod baharu Program Sarawakku Sayang

Jururawat tunjang utama sistem kesihatan negara

Jururawat tunjang utama sistem kesihatan negara

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

Setiap projek Rumah Selangorku wajib sedia hentian bas

Setiap projek Rumah Selangorku wajib sedia hentian bas

Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan gesa tolak politik fitnah, perpecahan

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan gesa tolak politik fitnah, perpecahan