
KOTA KINABALU – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan tindakan Datuk Ewon Benedick melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan sebagai tindakan yang tidak matang kerana keputusan muktamad berhubung isu 40 peratus hasil Sabah masih belum diputuskan.
Katanya, Presiden UPKO itu sepatutnya menunggu mesyuarat Kabinet minggu hadapan sebelum mengambil sebarang keputusan.
“Saya fikir tindakan Datuk Ewon agak ‘premature’, sebab sepatutnya beliau sebagai anggota pentadbiran hadir dulu dalam mesyuarat minggu depan dan lihat apa keputusan Kabinet.
“Keputusan belum dibuat lagi, tapi beliau seolah-olah menanggapi bahawa keputusan itu tidak akan memihak kepada Sabah,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Presiden Sempena PRU DU Sabah dan Mesyuarat MPP Khas bersama MPN Sabah dan Pimpinan Angkat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Jelas beliau, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan sama ada untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah berkaitan tuntutan hasil 40 peratus itu.
“Belum ada keputusan, belum ada kenyataan sama ada untuk appeal atau tidak. Jadi agak ‘premature’ untuk melepaskan jawatan sekarang.
“Saya menghormati pendirian parti UPKO dan Ewon yang mahu menunjukkan ketegasan dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Namun, katanya, perjuangan itu perlu diteruskan melalui saluran perundingan yang telah dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Sebagai orang Sabah, saya tidak akan kompromi tentang perjuangan MA63 ini.
“Kita semua parti-parti Sabah bersama dalam perkara ini, terutama isu 40 peratus. Tapi kita kena rundingan adalah cara yang terbaik,” tambah beliau.
Mustapha turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof masih berfungsi dan turut disertai oleh Ewon.
“Keputusan menaikkan pembayaran interim daripada RM300 juta kepada RM600 juta sebelum ini merupakan hasil persetujuan kerajaan pusat, manakala formula kekal sedang dibincangkan di peringkat jawatankuasa induk MA63.
“Kerajaan perlu memastikan formula baharu itu disertai dengan satu mekanisme khas bagi menyalurkan dana kepada rakyat secara telus dan berkesan.
“Apabila kita sudah ada formula yang disepakati, kita perlu buat satu tabung khas supaya dana tersebut dibentang di Dewan Undangan dan digunakan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat Sabah. Itu yang paling penting,” katanya lagi.
Dalam pada itu, mengulas kemungkinan kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah, Mustapha berkata, beliau menyerahkan kepada proses perundingan yang sedang berjalan antara kerajaan pusat dan negeri.
“Bagi saya arahan mahkamah sendiri minta supaya kerajaan pusat dan negeri berunding dalam tempoh tertentu. Jadi biarlah proses itu berlaku dengan tertib.
“Perdana Menteri pun menghormati keputusan itu, cuma minta supaya rundingan diteruskan,” ujarnya.





