
KEPONG, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya telah dikenal pasti sebagai kawasan di ibu negara yang mempunyai risiko sangat tinggi berlakunya kejadian lubang benam (sinkhole).
Berdasarkan kajian pada tahun 2017 yang dikongsikan semula oleh Public Health Malaysia (PHM) di Facebook memaklumkan tiga lokasi turut disenaraikan sebagai berisiko tinggi berlaku lubang benam iaitu Pudu, Cheras dan KLCC.
“Manakala Taman Tun Dr. Ismail (TTDI); Bukit Jalil dan Sungai Besi pula telah dikategorikan sebagai lokasi dengan risiko rendah untuk berlakunya insiden lubang benam.
“Pada masa sama, empat lokasi pernah berlaku kejadian lubang benam sebelum ini iaitu di Ampang, Pudu, Kepong dan Kampung Baru,” katanya.
Kajian itu bertajuk “Sinkhole Susceptibility Hazard Zones Using GIS and Analytical Hierarchical Process (AHP): A Case Study of Kuala Lumpur and Ampang Jaya” oleh Rosdi et al. (2017)
Berdasarkan catatan sama, kajian tersebut bertujuan mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi terhadap pembentukan ‘sinkhole’, yang boleh memberi implikasi serius terhadap pembangunan infrastruktur dan keselamatan awam.
Berdasarkan maklumat itu, kajian terbabit menggunakan gabungan teknologi Geographical Information System (GIS) dan Analytical Hierarchical Process (AHP) untuk menghasilkan peta risiko yang boleh membantu dalam perancangan bandar dan mitigasi bencana.
“Lima parameter utama yang digunakan dalam kajian itu termasuk jenis batuan, penggunaan tanah, kedalaman air bawah tanah, dan lain-lain, adalah faktor penting dalam perkembangan ‘sinkhole’.
“Kajian ini juga menyarankan agar teknologi ini diterapkan secara meluas dalam perancangan bandar dan pengurusan risiko bencana untuk mengurangkan kesan negatif terhadap infrastruktur dan keselamatan awam,” katanya.
Isu kebimbangan berkenaan berlakunya kejadian lubang benam atau mendapan tanah di Kuala Lumpur kini menjadi topik perbincangan berikutan kejadian melibatkan seorang pelancong India di Jalan Masjid India, baru-baru ini.
Selepas empat hari kejadian itu, mangsa iaitu seorang wanita berusia 48 tahun yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter masih gagal ditemukan sehingga kini.
Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, PHM menegaskan penemuan kajian ini lebih kepada usaha proaktif untuk meningkatkan keselamatan dan kesedaran, bukannya untuk mencetuskan ketakutan di kalangan awam.
“Dengan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi terhadap kejadian lubang benam, pihak berkuasa dan masyarakat boleh mengambil langkah berjaga untuk mengurangkan risiko dan melindungi keselamatan awam serta infrastruktur,” katanya.

