
KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan masih menunggu laporan siasatan berhubung Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja (TLDM) yang tenggelam, semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal terbabit beroperasi sejak 1979 tetapi itu bukan punca sebenar kejadian KD Pendekar karam.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan siasatan berhubung insiden berkenaan.
“Satu siasatan sudah dimulakan untuk kita memahami apakah punca (kapal KD Pendekar karam), tetapi kapal ini memang sudah lama beroperasi sejak 1979, jadi sudah dekat 50 tahun.
“Atas sebab itu, kerajaan kini gigih berusaha memastikan kapal baharu yang sedang kita bina dapat disiapkan mengikut jadual, selain kita beli kapal baharu dan proses ini akan kita teruskan.
“Kita tidak nafikan usia kapal terlalu lama, tetapi itu bukan punca kejadian, sebaliknya seperti dikatakan ia terlanggar objek, jadi ini sedang dibuat kajian. Kita bersyukur kejadian itu tidak babitkan korban nyawa,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak Knowledge Transfer Programme (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini, hari ini.
Semalam, TLDM mengesahkan KD Pendekar tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di tenggara Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang dan semua 39 kru kapal itu berjaya diselamatkan tanpa kecederaan.
TLDM menerusi kenyataan, berkata usaha menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan membuat pemeriksaan terhadap satu pertiga atau kira-kira 10 hingga 15 kapal TLDM yang berusia lebih 40 tahun bagi memastikan aset itu dalam keadaannya baik.
“Kita juga sedang membina Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan dalam proses pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) dari Turkiye.
“Kapal LCS pertama akan beroperasi pada 2026, kita ada lima kapal LCS, Insya-Allah setiap tahun ada satu kapal LCS. Bagi LMS pula, kita ada pada Oktober, November dan Disember 2027,” katanya.

