
TAWAU – Rangkaian hubungan laut, darat dan udara yang paling efisien serta sistem kewangan antarabangsa yang kukuh menjadikan Tawau wilayah paling strategik dalam Koridor Ekonomi Borneo Timur BIMP-EAGA (EBEC) dan Koridor Ekonomi Sulu-Sulawesi Raya (GSSEC) sekali gus sesuai untuk diangkat sebagai hab udara antarabangsa baharu.
Timbalan Pengerusi BEMBC Cawangan Tawau, Tasman Matto berkata, kedudukan istimewa itu nembolehkan Tawau berperanan sebagai pusat aktiviti penggabungan penumpang dan kargo selain bebas daripada bencana alam.
“Tawau terletak secara strategik di pintu masuk kebanyakan wilayah yang ditetapkan di bawah BIMP-EAGA dalam jarak penerbangan kurang daripada dua jam serta nilai rantaian ekonomi yang diunjurkan tidak kurang daripada AS$100 bilion akan dibangunkan menjelang tahun 2035 di Wilayah Nusantara.
“Perkara ini menjadikan Lapangan Terbang Tawau amat relevan untuk dinaik taraf sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa bagi memanfaatkan pergerakan besar dalam bidang perniagaan, pelancongan, pelaburan dan aktiviti kargo udara,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Tasman yang juga Pengerusi Pedagang-Pedagang Sempadan Sabah berkata, Tawau amat dekat dengan Lapangan Terbang IKN Balikpapan Indonesia dan lapangan terbang lain di Selatan Filipina, Korea, Jepun dan China yang membolehkan penerbangan langsung dari negara terbabit.
Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah untuk memajukan Tawau dan Negeri Sabah dengan merealisasikan Lapangan Terbang Tawau sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa demi mewujudkan daya saing ekonomi yang seimbang.
Beliau turut menyelar kenyataan Dewan Perniagaan Tionghoa Tawau baru-baru inu yang mendakwa terdapat beberapa pengkritik mencadangkan dasar pemusatan agar hanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dijadikan satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Sabah.
Katanya, pendapat itu bercanggah dengan matlamat dan semangat Malaysia MADANI berikutan penduduk Tawau amat menghargai dan berterima kasih atas kebijaksanaan Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM130 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau kepada mutu lapangan terbang antarabangsa dalam fasa pertama ini.




