KUANTAN – Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya di Genting, dekat Bentong, berupaya memendekkan masa tindak balas kecemasan di kawasan tanah tinggi itu dari 25 minit kepada 10 minit, selaras piawaian antarabangsa perkhidmatan kebombaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata, projek bernilai RM68.38 juta itu menjadi keutamaan susulan pembangunan pesat di kawasan Genting yang memerlukan sistem keselamatan dan penyelamatan lebih berkesan.
Katanya, masa tindak balas adalah faktor utama mendorong kerajaan mempercepat pembinaan balai baharu bagi memastikan kesiapsiagaan bomba pada tahap optimum.
“Sekarang jika ada kecemasan di Gohtong Jaya, pasukan dari balai sedia ada di Genting mengambil kira-kira 25 minit untuk tiba ke lokasi.
“Dengan balai baharu ini, masa tindak balas dapat dikurangkan kepada 10 minit,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya, Pahang di Wisma Genting di ibu negara, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad dan Timbalan Presiden Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit.
Kawasan Genting ketika ini mempunyai Balai Bomba dan Penyelamat Genting, namun penubuhan balai baharu di Gohtong Jaya penting bagi memperkukuh liputan perkhidmatan kebombaan di kawasan tanah tinggi pesat membangun itu.
M Noor Azman berkata, projek dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 itu dilaksanakan melalui kaedah ‘rakan strategik pintar’ antara kerajaan dan sektor swasta bagi mengatasi kekangan kos pembinaan.
Katanya, pembinaan balai itu membabitkan peruntukan kerajaan RM39 juta, manakala baki RM29.38 juta dibiayai Genting Malaysia Berhad menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat.




