
KUCHING – Budaya menabung perlu dijadikan amalan dalam setiap isi rumah bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak lebih terjamin.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, amalan menabung bukan sekadar langkah kewangan bijak, tetapi juga pelaburan jangka panjang untuk memastikan generasi muda mendapat peluang pendidikan yang lebih baik.
“Menabung melalui Simpan SSPN bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa pada masa depan, malah menyokong usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Galakkan Menabung Simpan SSPN Negeri Sarawak yang diadakan di Ang Cheng Ho Multipurpose Hall pada Jumaat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Ir Lo Khere Chiang berkata, penganjuran program seperti ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membina masyarakat celik kewangan dan berdaya saing menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“PTPTN telah memainkan peranan besar dalam meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pentingnya perancangan kewangan. Kita mahu lebih ramai ibu bapa sedar bahawa pendidikan anak-anak bermula dengan tabungan,” ujarnya.

Program anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan komuniti setempat.
Kerjasama erat antara PTPTN, kerajaan Sarawak dengan pemimpin tempatan turut menyerlahkan komitmen bersama dalam mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab mengurus kewangan demi masa depan generasi akan datang.
Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dan Pengarah PTPTN Sarawak, Yussuf Chik.






